Ahad, 3 Mei 2015 | 9:07am

Rodgers hambur pujian buat Gerrard

KAPTEN Liverpool, Steven Gerrard. - Foto Reuters

LIVERPOOL: Brendan Rodgers menganggap Steven Gerrard membuktikan tempatnya tidak mampu diganti selepas kapten Liverpool itu tampil pada aksi kedua terakhirnya, di Anfield dengan membantu kemenangan 2-1 ke atas QPR, malam tadi.

Gerrard awalnya gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-79, namun bangkit menjaringkan gol kemenangan Liverpool menerusi tandukan pada minit ke-87 .

Ia juga jaringan ke-184 Gerrard bersama kelab itu, tempat kelima terbanyak dalam sejarah penjaring sepanjang zaman.

Terdahulu jaringan pendahuluan Philippe Coutinho pada minit ke-19 berjaya disamakan QPR menerusi Leroy Fer, minit ke-73.

Gerrard, 34, kini hanya satu lagi perlawanan di Anfield sebelum dia menamatkan karier 16 tahun bersama skuad utama Liverpool untuk menyertai kelab Amerika Syarikat, LA Galaxy dan Rodgers pantas memberi penghormatan kepada kapten Liverpool itu sebelum pemergiannya.

"Kebanyakan pemain apabila mereka gagal sepakan penalti, baki permainan mereka akan menurun dan keyakinan diri jadi hilang. Tapi Gerrard sama sekali berbeza.

"Dia salah seorang daripada kelompok pemain unik yang apabila perlu untuk mereka memberi reaksi segera, dia mampu melakukannya," kata Rodgers.

"Dia memiliki bakat berkelas dunia. Memang hanya terdapat sekelompok kecil pemain yang dalam perlawanan besar mereka mampu menjaringkan gol penting dan memberi sumbangan besar. Itu yang dilakukan Gerrard sepanjang kariernya." - AFP

Berita Harian X