Sabtu, 2 Mei 2015 | 12:03am
PAVLOVA antara hidangan meringue atau pencuci mulut yang digemari dan menu itu antara yang popular bukan saja dijual di hotel atau kafe mewah, malah semakin ramai yang mencuba menyediakannya. - Foto Zunnur Al Shafiq
PAVLOVA adalah pencuci mulut yang manis dan ringan. Rupa bentuk hidangan ini juga amat menarik kerana dihiasi dengan limpahan pelbagai buah-buahan segar. - Foto Zunnur Al Shafiq

Kelazatan Pavlova


PAVLOVA antara hidangan meringue atau pencuci mulut yang digemari dan menu itu antara yang popular bukan saja dijual di hotel atau kafe mewah, malah semakin ramai yang mencuba menyediakannya.

Mengikut sejarah, Pavlova diambil sempena nama seorang penari balet Russia, Anna Pavlova yang sering mengembara ke Australia dan New Zealand sekitar tahun 1962.

Bagaimanapun, ada pandangan lain dalam kalangan penggiat bidang kulinari yang menyatakan Pavlova, sebenarnya berasal dari Australia atau New Zealand mahupun Perancis.

Apa pun pandangan itu, yang penting Pavlova adalah pencuci mulut yang manis dan ringan. Rupa bentuk hidangan ini juga amat menarik kerana dihiasi dengan limpahan pelbagai buah-buahan segar.

Antaranya anggur, strawberi, kiwi, oren dan blackberry yang digunakan sebagai hiasan dan pelengkap rasa.

Biasanya, hidangan ini agak manis, tetapi ada juga yang cuba mengurangkan rasanya. Namun, mengikut prinsip keaslian dan pembuatan hidangan ini, gula yang dikurangkan akan membuatkan keaslian rasanya hilang.

Kebanyakan penjual Pavlova sama ada di restoran dan perniagaan dalam talian melakukan pelbagai dekorasi pada makanan itu bagi menarik minat penggemarnya.

Ada yang meletakkan buah segar tanpa dipotong dan diletakkan di atas Pavlova atau memotong kecil mengikut cita rasa masing-masing.

Selain itu, saiz Pavlova adalah berbeza. Ada yang direka menerusi saiz seperti sebiji kek dan ada yang bersaiz kek cawan.

Kos tinggi

Biasanya, harga ditawarkan untuk sebiji Pavlova agak mahal. Ini kerana bahan yang digunakan memerlukan kos tinggi seperti buah import segar dan tempoh masa membakar Pavlova yang memakan masa dua jam untuk saiz kek dan satu jam untuk saiz mini.

Kini, Pavlova mula mendapat tempat di hati masyarakat negara ini sehingga dijadikan cenderahati perkahwinan, majlis hari jadi dan menu minum petang.

Ia begitu eksklusif dan menarik dijadikan barang hantaran untuk pertunangan mahupun perkahwinan.

USAHAWAN kek dan pastri Dolce Hot Spot, Noryati Syafri. - Foto Zunnur Al Shafiq

Tawar Pavlova berbeza

Bagi usahawan kek dan pastri Dolce Hot Spot, Noryati Syafri, 31, kek ini menjadi daya tarikan kepada semua golongan. Hiasan kreatif dan sepadan dengan rasa ditawarkan, membuat Pavlova menjadi antara hidangan wajib ditempah pelanggan setiap hari.

"Pavlova yang kami tawarkan berbeza dari segi rasa kerana ada ramuan rahsia yang membuatkan ia rangup. Biasanya hidangan ini perlu dimakan segera supaya tidak kenyal," katanya yang mengenakan harga RM10 untuk empat biji Pavlova.

BAHAN-BAHAN membuat Pavlova. - Foto Zunnur Al Shafiq

BAHAN

Pavlova

150 gram (g) atau 5 biji telur putih

150 g gula pasir

1 sudu teh esen vanilla

1 sudu teh tepung jagung

Krim topping

Krim bukan tenusu

Susu segar

(kedua-dua bahan ini diputar )

CARA MASAK:

1. Masukkan putih telur dalam pengadun.

2. Masukkan juga gula pasir dalam pengadun sama.

3. Putar sehingga kembang, berwarna putih, ringan dan sebati. Proses ini adalah untuk membuat meringue. Petuanya, angkat meringue menggunakan spatula , jika tidak jatuh, meringue anda sudah menjadi.

4. Kemudian, masukkan tepung jagung.

5. Masukkan meringue dalam beg piping dan bentuk mengikut selera anda. Lapik menggunakan kertas minyak.

6. Sementara itu, buat krim topping. Sama seperti membuat meringue, putar krim sehingga ringan.

7. Apabila siap dibakar dalam masa sejam, sejukkan sebentar sebelum meletakkan krim topping.

8. Potong buah segar mengikut cita rasa anda.

9. Hias mengikut kreativiti. Selamat mencuba.

Tip hasilkan pavlova yang baik.

1. Jangan gunakan telur yang sejuk.

2. Pastikan tidak ada sedikit pun kuning telur dalam adunan kerana ia akan merosakkan meringue.

3. Bekas untuk membuat adunan haruslah bersih dan tidak berminyak, sebaiknya tuangkan air panas, bilas dan lap kering bekas itu.

Berita Harian X