Isnin, 8 September 2014 | 4:53pm

Malaysia kekal destinasi pilihan syarikat AS di ASEAN

KUALA LUMPUR: Malaysia terus menjadi destinasi pilihan syarikat dari Amerika Syarikat (AS) untuk beroperasi di ASEAN, demikian mengikut hasil kaji selidik terkini yang dijalankan Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM).

Kaji selidik Tinjauan Perniagaan ASEAN 2015 menunjukkan 77 peratus responden di Malaysia menjangkakan keuntungan mereka meningkat pada 2015 berbanding 53 peratus pada tahun ini.

Sebanyak 70 peratus responden pula mempunyai rancangan mengembangkan operasi mereka di Malaysia dan 52 peratus jangka peningkatan tenaga kerja.

Presiden AMCHAM, Sanjeev Nanavati, berkata kaji selidik terbaharu itu menunjukkan Malaysia terus menjadi destinasi menarik bagi syarikat AS untuk mengembangkan perniagaan mereka di ASEAN.

Sentimen positif Malaysia terhadap AS, infrastruktur dan kos pajakan pejabat kekal menjadi faktor perniagaan yang menarik perhatian syarikat AS.

Namun begitu, katanya, kaji selidik itu menunjukkan tahap kepuasan terhadap entiti kerajaan menguruskan kastam, imigresen dan percukaian menunjukkan penurunan.

Justeru, katanya, adalah penting bagi kerajaan Malaysia untuk terus menyediakan persekitaran mesra perniagaan untuk tahun mendatang supaya syarikat dapat merealisasikan negara ini sebagai hab dan pusat kecemerlangan.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan keputusan kaji selidik itu di sini hari ini.

Berita Harian X