Rabu, 29 April 2015 | 12:03am

SIRI MISTERI: Fenomena kepupusan dinosaur


TIADA siapa yang menyangka bumi Malaysia dikatakan pernah menjadi habibat dinosaur pada jutaan tahun lalu.

AWAL tahun lalu, negara gempar apabila sekumpulan penyelidik Universiti Malaya mendakwa menemui fosil dinosaur spesies Spinosauridae yang dipercayai wujud dan hidup di tanah Pahang antara 65 juta dan 145.5 juta tahun lalu.

Dakwaan itu dengan pantas mendapat liputan hangat media lantaran sebelum ini, tiada siapa menyangka bumi Malaysia pernah menjadi habitat haiwan raksasa purba itu pada jutaan tahun lalu.

Penemuan itu juga bakal mencatat sejarah negara lantaran ia adalah fosil dinosaur pertama dijumpai di negara ini.

Sebelum ini, hanya fosil tumbuhan dan cengkerang purba ditemui di Malaysia, antaranya pada pertengahan 2013, fosil cengkerang dipercayai berusia 260 juta tahun ditemui di Sungai Yu, Merapoh, Pahang.

Fosil dinosaur terhampir dijumpai adalah di Khon Kaen, Timur Laut Thailand apabila tulang dinosaur spesies Sauropod ditemui pada tahun 1976.

Kewujudan dinosaur di muka bumi ini ternyata amat mengejutkan kerana sebelum abad ke-17, tiada siapa menyangka bahawa sebelum kewujudan manusia, sudah ada haiwan raksasa yang besar dan ganas bertebaran menguasai bumi selama jutaan tahun.

Pada zaman Jurasik sekitar 144 hingga 206 juta tahun lalu, seluruh permukaan bumi ini dipercayai dipenuhi dinosaur, sama seperti dipenuhi manusia ketika ini.

Bagaimanapun, akibat faktor misteri yang menakutkan, semua haiwan purba itu pupus sepenuhnya jutaan tahun lalu dan kewujudan dinosaur tidak diketahui manusia sehinggalah tahun 1676 apabila fosil dinosaur pertama ditemui William Buckland di England.

Fosil aneh itu kemudiannya dikenali sebagai dinosaur spesies Megalosaurus Bucklandii dan dinamakan sempena nama Buckland.

Perkataan Greek

Perkataan dinosaur atau 'dinosauria' diperkenalkan ahli kaji purba Inggeris, Richard Owen pada tahun 1842 dan berasal daripada perkataan Greek bermaksud 'reptilia ganas' atau 'cicak ganas'. Perkataan itu digunakan bagi mewakili semua spesies haiwan yang hidup jutaan tahun lalu tetapi sudah pupus.

Sejak kewujudan dinosaur disedari pada tahun 1676, semakin banyak kerja arkeologi dijalankan di merata dunia dan semakin banyak pula fosil dinosaur ditemui.

Sehingga kini, sebanyak 527 spesies dinosaur sudah dikenal pasti dan saintis percaya terdapat 1,844 jenis dinosaur wujud suatu ketika dulu.

Penemuan terlalu banyak spesies dinosaur itu secara tidak langsung turut mencetuskan persoalan penting di minda penyelidik - kuasa apakah yang menyebabkan semua dinosaur itu pupus terus daripada muka bumi ini?

Tatkala memikirkan kuasa kemusnahan yang mampu melenyapkan semua dinosaur itu buat selama-lamanya, pasti terdetik rasa gerun dan bimbang di jiwa manusia akan kuasa sama mampu menghapuskan manusia pula selepas ini.

Bertolak daripada persoalan itulah, maka penyelidik terus mencari punca kepupusan dinosaur dan ketika itulah mereka menyedari terdapat kawasan kawah amat besar di Semenanjung Yucatan, Mexico.

Ketika meneliti kawah Chicxulub yang memiliki diameter lebih 180 kilometer dan kedalaman sekitar 20 kilometer, penyelidik yakin ia bukan terjadi secara semula jadi tetapi akibat hentaman objek teramat besar yang datang daripada angkasa.

Komet punca kepupusan

Penyelidik meyakini objek berkenaan adalah komet yang memiliki diameter sekitar 10 kilometer dan hentaman komet itu mencetuskan kuasa kemusnahan sehingga 1,000 juta kali melebihi letupan bom atom di Nagasaki dan Hiroshima pada Perang Dunia Kedua. Kuasa kemusnahan itu juga diyakini menjadi pencetus kepupusan dinosaur pada jutaan tahun lalu.

Teori hentaman komet itu dipelopori penyelidik Universiti California, Walter Alvarez, lewat 1970-an. Kajiannya mendapati hentaman komet di permukaan bumi kira-kira 65 juta tahun lalu menyebabkan peningkatan paras iridium secara mendadak di seluruh dunia.

Komet atau asteroid sememangnya mengandungi kandungan mineral itu dalam kuantiti banyak dan iridium dibawa bersama komet dan disebarkan ketika ia menghentam planet ini.

Penyelidik juga percaya hentaman komet itu berlaku beberapa kali dan mula memberi kesan ketidakseimbangan suhu dan keadaan di bumi.

Natijahnya, kadar aktiviti gunung berapi mula meningkat, suhu di bumi mula berubah dan keadaan itu tidak lagi sesuai untuk dinosaur.

Pakar fizik dari The Lunar and Planetary Institute di Houston, Virgil Sharpton, berkata kejadian hentaman komet gergasi itu berlaku sekali bagi setiap satu bilion tahun.

Satu pendapat lain adalah komet menghentam bumi bukanlah komet tunggal tetapi 'Oort cloud' yang memasuki atmosfera planet ini sebagai 'hujan komet' sehingga memberi kesan lebih teruk.

Faktor perubahan bumi

Selain teori hentaman komet, ada juga penyelidik mengandaikan bahawa punca kepupusan dinosaur turut disumbangkan faktor perubahan keadaan bumi.

Ketika kemuncak era dinosaur, bumi dikatakan mengalami peningkatan air laut akibat cairan ais di kutub. Paras air laut ketika itu dianggarkan meningkat 100 hingga 250 meter dari paras sekarang dan menenggelamkan banyak daratan.

Suhu di semua kawasan Bumi sama ada gurun atau kutub dikatakan seragam dengan anggaran sekitar 25 darjah Celsius. Suhu atmosfera juga meningkat semakin hangat iaitu sehingga 50 darjah Celsius daripada suhu ketika ini.

Kandungan atmosfera juga berbeza dengan kandungan karbon dioksida dikatakan meningkat sehingga 12 kali ganda, manakala oksigen pula memenuhi sekadar 32 hingga 35 peratus berbanding 21 peratus ketika ini.

Keadaan panas itu berakhir pada lewat era Cretaceous iaitu antara 146 hingga 136 juta tahun lalu. Aktiviti gunung berapi juga semakin menurun dan zaman sejuk mula mengambil alih.

Kandungan karbon dioksida dan oksigen dalam atmosfera juga semakin menurun. Ada saintis berpendapat perubahan keadaan di bumi dan atmosfera itu menyebabkan kematian banyak spesies kehidupan.

Jika dinosaur memiliki sistem respiratori yang menyamai burung, maka mereka akan menghadapi masalah dalam pernafasan dan kemungkinannya akan mati.

Selain dua teori itu, ada juga kalangan saintis yang mengatakan kepupusan dinosaur mungkin berpunca daripada gabungan pelbagai keadaan seperti hentaman komet dan perubahan keadaan bumi.

294 dibaca
Berita Harian X