Isnin, 27 April 2015 | 4:53pm

Maxis untung RM455j suku pertama 2015

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd mencatat untung RM455 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, meningkat 8.5 peratus berbanding RM419 juta yang direkodkan pada suku sama tahun lalu.

Prestasi itu disokong oleh peningkatan keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang mencecah RM1.04 bilion dalam suku berkenaan.

Momentum positif daripada pelbagai inisiatif di dalam Maxis kini menghasilkan beberapa petunjuk peningkatan operasinya.

Buat kali pertama sejak 2010, Maxis memecah tradisi suku pertama yang perlahan untuk meraih pendapatan servis bernilai RM2.127 bilion, meningkat 1.6 peratus berbanding suku keempat 2014.

Suku yang dikaji juga menyaksikan Maxis menambah 328,000 langganan pendapatan baharu (RGS), menjadikan asas RGS kumpulan kepada 12 juta.

Dengan proses pemodenan rangkaian serta pengembangan LTE mula menghasilkan peningkatan dari segi pengalaman pengguna serta penggunaan data, Maxis kini mempunyai sembilan juta pengguna Internet mudah alih.

Sementara itu, penembusan telefon pintar pula berada pada 57 peratus semasa dalam suku yang dikaji.

Mengulas prestasi itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Morten Lundal, berkata segmen prabayar mencatatkan pemulihan yang sangat kukuh.

"Kami mencatatkan pertumbuhan bagi empat suku kewangan berturut-turut dari segi pendapatan dan langganan, di samping turut menyaksikan peralihan positif dalam segmen pasca bayar.

Berita Harian X