Sabtu, 6 September 2014 | 9:59pm
AKSI pelumba Mercedes dari Britain, Lewis Hamilton ketika sesi kelayakan Grand Prix Itali.

F1: Hamilton tamat kemarau petak pertama atasi Rosberg

MONZA: Pelumba Britain, Lewis Hamilton meraih petak pertamanya dalam lapan percubaan selepas mengungguli sesi kelayakan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Itali, sebentar tadi mengatasi rakan sepasukannya daripada Mercedes, Nico Rosberg.

Bintang Britain berusia 29 tahun itu mencatat masa 1 minit 24.109 saat, kelebihan 0.274 saat berbanding pelumba Jerman, Rosberg yang kini mengungguli kedudukan pelumba dengan 29 mata berbaki tujuh pusingan perlumbaan.

Pertarungan dua rakan sepasukan yang selama ini panas memuncak apabila jentera mereka berlanggar sesama sendiri di Grand Prix Belgium, dua minggu lalu.

Dan ketika kedua-duanya tiba di pit perlumbaan di Litar Monza, tiada adegan bersalaman di antara mereka malah tiada sambutan meriah meraikan kejayaan itu.

DUA jaguh pasukan Mercedes, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg selepas sesi kelayakan Grand Prix Itali. Hamilton meraih petak pertama manakala Rosberg kedua.

Petak pertama di Monza adalah yang pertama buat Hamilton sejak Grand Prix Sepanyol, Mei lalu dan yang kelimanya musim ini untuk mengumpul keseluruhan 36 petak pertama sepanjang kariernya.

Bagi kebanyakan pemerhati, ia dilihat sebagai petunjuk jelas kepada pencabar utamanya yang dia kini amat bermotivasi untuk mempamer persembahan terbaiknya.

Begitupun, kedua-dua rakan sepasukan yang tidak ' sebulu ini' masih berhati-hati mengeluarkan kenyataan dengan berkata: "Ia bagus untuk pasukan," kata mereka sejurus sesi kelayakan.

Pelumba Finland, Valtteri Bottas mencatat masa ketiga terpantas di depan rakan sepasukannya dari Williams, Felipe Massa yang mencatat masa keempat terpantas.

Pelumba muda McLaren dari Denmark, Kevin Magnussen bakal memulakan perlumbaan di petak kelima diikuti rakan sepasukannya dari Britain, Jenson Button keenam.

Tiada keraian buat pasukan tuan rumah, Ferrari apabila pelumbanya yang juga juara dunia dua kali, Fernando Alonso menamatkan sesi kelayakan di kedudukan ketujuh terpantas lebih malang buat seorang lagi pelumbanya, Kimi Raikkonen apabila hanya akan memulakan perlumbaan di petak ke-12.

Penyandang juara dunia, Sebastian Vettel dari Jerman juga tidak menampilkan persembahan memberangsangkan apabila mencatat masa kelapan terpantas diikuti rakan sepasukannya dari Red Bull, Daniel Ricciardo, kesembilan dengan pelumba Force India dari Mexico, Sergio Perez melengkapkan kedudukan 10 terbaik. - AFP

Berita Harian X