Sabtu, 18 April 2015 | 11:21pm

Mukhriz tidak perlu nyata pendirian - UMNO Kedah

DATUK Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (duduk, tiga, kanan) bersama Ketua-ketua UMNO Bahagian dan pemimpin BN bersepakat menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta menghormati pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mesyuarat khas di Seri Mentaloon hari ini. - Foto Amran Hamid
DATUK Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (duduk, tiga, kanan) bersama Ketua-ketua UMNO Bahagian dan pemimpin BN bersepakat menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta menghormati pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mesyuarat khas di Seri Mentaloon hari ini. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah membuat ketetapan supaya Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak perlu membuat sebarang kenyataan mengenai pendiriannya berhubung kemelut antara Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia juga memutuskan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kedah yang dijadualkan di Kuala Lumpur pada 24 April ini, dibatalkan.

Namun, mesyuarat dua jam yang membuat keputusan itu tetap membuat komitmen untuk terus memberi sokongan penuh terhadap kepimpinan Najib selaku Perdana Menteri dan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah.

Perkara ini dimaklumkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada sidang media selepas mesyuarat yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon yang berakhir kira kira jam 2 petang hari ini.

Mesyuarat itu pada mulanya dipengerusikan Mukhriz, tetapi beliau keluar pada 15 minit terakhir selepas membuat penjelasan untuk memberi laluan kepada Ahmad Bashah membuat keputusan bersama semua Ketua Bahagian UMNO negeri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ahmad Bashah berkata, keputusan dibuat secara konsensus kerana memahami kedudukan dan dilema dialami Mukhriz selain ia adalah untuk memastikan perpaduan UMNO Kedah terus diperkukuhkan.

Katanya, badan Perhubungan UMNO juga bersetuju dan menyokong penuh tindakan Perdana Menteri yang mengarahkan supaya 1Malaysia Development Bhd (1MDB) disiasat selain meminta Dr Mahathir supaya memberi masa kepada Najib untuk menunjukkan kemampuan mengepalai parti dan kerajaan.

"Kita sepakat bahawa Menteri Besar tidak perlu membuat sebarang kenyataan berhubung isu ini, ketetapan kita adalah jelas bahawa kita menyokong penuh Menteri Besar dan kita juga menyokong penuh Perdana Menteri.

"Keputusan ini dibuat secara konsensus dalam kalangan semua ADUN, Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian yang hadir hari ini (semalam)," katanya.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Md Rozai Safian.

Mesyuarat berkenaan tidak dihadiri ADUN Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin kerana mempunyai urusan di luar negara, ADUN Pantai Merdeka Ali Yahya dan ADUN Bayu, Azmi Che Hussin.

Selain itu, Ketua Bahagian yang tidak hadir adalah Datuk Johari Baharom (Kubang Pasu), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling) dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai).

ADUN Bukit Lada sebelum ini menggesa supaya Mukhriz menyatakan pendirian menyokong Perdana Menteri atau melepaskan jawatannya dan melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Mukhriz yang masih tidak menyatakan sokongannya kepada Najib berikutan kritikan keras Mahathir.

Sebelum ini tiga sayap UMNO negeri Kedah turut memutuskan supaya Mukhriz tidak membuat sebarang kenyataan berhubung pendiriannya dalam isu terbabit.

Berita Harian X