Selasa, 14 April 2015 | 12:14am
KOLEKSI rekaan Tanggo mencuri tumpuan tetamu apabila tampil dengan sentuhan kreatif inspirasi purba. - Foto Saifullizan Tamadi
MENONJOLKAN sikap penuh ceria, cetakan berwajah kartun ilham Fairus Ramdan menyerlahkan kelainan pada pemilihan sut. - Foto Saifullizan Tamadi
PEMILIHAN beg tangan berstruktur daripada Illiza Ho bukan saja unik mengikut rekaannya, tetapi himpunan rona segar menyerlahkan imej diri. - Foto Saifullizan Tamadi
RONA hitam yang lasak- Foto Saifullizan Tamadi

Cita rasa fesyen moden


SIRI persembahan fesyen Mercedes-Benz Stylo Fashion Grand Prix (MBSFGP) 2015 melabuhkan tirainya dengan meninggalkan impak cukup berkesan terhadap penerokaan industri fesyen tempatan.

Penekanan tema Fashion Anrchy-Rebel Revolution yang diketengahkan pada MBSFGP 2015, di Red Carpet Avenue, Encorp Strand, Petaling Jaya, baru-baru ini, bukan saja menghimpunkan rekaan berteraskan elemen pemberontak, tetapi karakter anarki yang diperlihatkan menerusi kreativiti imej pelik menghiasi pementasan fesyen.

Mempersembahkan himpunan pereka tersohor tempatan, iaitu Bon Zainal, Tangoo, Illiza Ho, Hazree Wahid, Kinslager, Azlan Adrian Ariff, Joyce Wong dan Fairuz Ramdan, masing-masing membuktikan kekuatan rekaan menerusi sentuhan unik menggamatkan cita rasa fesyen moden.

Siri fesyen MBSFGP 2015 kali ke-8 itu turut menonjolkan bot pelbagai fungsi Stylo II yang direka khusus mengikuti tema dipilih itu.

   Menariknya, Stylo II turut dihiasi menjadi pentas utama dengan sentuhan perincian menarik seiring tema revolusi kacau-bilau ditonjolkan.

BERTEMAKAN Fashion Anrchy- Rebel Revolution yang diketengahkan MBSFGP 2015 memberi nafas baharu terhadap industri fesyen tempatan. - Foto Saifullizan Tamadi

Curi tumpuan

Koleksi rekaan daripada Tanggo mencuri tumpuan tetamu apabila tampil dengan sentuhan kreatif inspirasi purba.

Sarat dengan perincian tekstur fabrik, koleksi seakan semangat haiwan liar ini memberikan imej pemberontakan yang cukup luar biasa.

Menonjolkan ekspresi penuh kemarahan, himpunan rekaan jenama ini memilih cetakan bermotif haiwan cukup unik.

BON Zainal menonjolkan sentuhan berlawanan apabila tampil dengan koleksi rekaan berimejkan lasak dalam rona serba hitam. - Foto Saifullizan Tamadi

Sementara itu, Bon Zainal biarpun dikenali dengan sentuhan ajaib dalam penghasilan sut, kali ini memberikan sentuhan berlawanan apabila tampil dengan koleksi rekaan berimejkan lasak dalam rona serba hitam.

Menggabungkan gaya ala penunggang motosikal, pereka profesional itu menampilkan koleksi rekaan jaket bergaya sederhana.

Padanan jaket hitam berzip dipakai bersama seluar sendat dan baju-T, memberikan imej harian yang relevan untuk disarung oleh jejaka moden.

HIMPUNAN koleksi yang segar. - Foto Saifullizan Tamadi

Karakter tersendiri

Berbeza pula rekaan diketengahkan Hazri Wahid apabila beliau menggunakan penampilan rekaan kombinasi yang cukup menawan perhatian.

Terserlah menerusi pemilihan rona fabrik merah, koleksi busana berpotongan gaun labuh mengikut susuk tubuh menyuntik kelainan pada imej wanita mencari pembaharuan.

Menggunakan gandingan fabrik rekaan top bercetak sarat, potongan klasik peplum dipadankan bersama gaun merah sendat menjadikan penampilan kekal memukau biarpun penuh misteri.

Mainan potongan berstruktur berani pada lengan dan pinggang blaus koleksi Hazri Wahid juga menjelaskan naluri pemberontak yang sentiasa inginkan kebebasan jiwa.

JOYCE Wong yang mentafsirkan tema menerusi mainan warna dan potongan jelas. - Foto Saifullizan Tamadi

Tidak kurang hebatnya, himpunan rekaan Joyce Wong yang mentafsirkan tema menerusi mainan warna dan potongan jelas.

Lebih memberi fokus kepada perincian, setiap koleksi gaun dan blaus dipersembahkan memiliki karakter tersendiri, di samping pemilihan rona yang selamat seperti hitam serta coklat.

Uniknya, pereka koleksi ini tahu mengadunkan mainan rona untuk menimbulkan ilusi berlawanan cukup berkuasa untuk penampilan harian.

Tambahan aksesori rantai bermotif, membuatkan rekaan dipersembahkannya lebih memukau biarpun berkadar sederhana.

AZLAN Adrian Ariff atau AAA tampil mempesonakan dengan cita rasa pengikut fesyen menerusi keajaiban koleksi berkonsepkan Bollywood rekaannya.- Foto Saifullizan Tamadi

Lari daripada kebiasaan

Pementasan fesyen terus memukau pandangan tetamu apabila Azlan Adrian Ariff atau AAA tampil mempesonakan cita rasa pengikut fesyen dengan keajaiban koleksi berkonsepkan Bollywood rekaannya.

Lari daripada kebiasaan, rekaan diketengahkan menyuntik elemen kekeliruan apabila fabrik mewah seperti sari dan sutera diilhamkan menjadi koleksi blaus, jumpsuit dan gaun petang berkonsepkan klasik dan moden.

Pemilihan material dari rangkaian rona ceria dan berani membuatkan pandangan tertumpu pada setiap kekemasan potongan busana diketengahkan.

Menonjolkan sikap penuh ceria, cetakan berwajah kartun ilham Fairus Ramdan menyerlahkan lagi kelainan pada pemilihan sut.

KREATIF dandanan rambut oleh A Cut Above. - Foto Saifullizan Tamadi

Pemilihan material dan warna menjolok mata membuatkan pemakaian sut tidak lagi membosankan.

Pementasan fesyen turut tidak ketinggalan mengetengahkan sentuhan kreatif dandanan rambut oleh A Cut Above, dikenali dek keberanian jenama itu memberikan revolusi terhadap industri kecantikan rambut.

Penampilan juga tidak lengkap tanpa padanan aksesori unik. Pemilihan beg tangan berstruktur daripada Illiza Ho bukan saja unik mengikut rekaannya, tetapi himpunan rona segar menyerlahkan lagi imej diri.

Berita Harian X