Jumaat, 10 April 2015 | 6:20pm

Peneraju empat bidang kepakaran

Kuala Lumpur: Perancangan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 PPPM (PT), berupaya menjadikan negara ini sebagai peneraju dalam empat bidang kepakaran di rantau Asia.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains New York, Amerika Syarikat, Dr Ellis Rubinstein, berkata empat bidang kepakaran itu ialah penyelidikan, inovasi, keusahawanan dan pendidikan.

Inti pati pelan jangka panjang itu, katanya, memuatkan penyelesaian segenap penjuru oleh pihak berkaitan bagi memastikan keberkesanan transformasi taraf pendidikan tinggi di Malaysia.

"PPPM (PT) menzahirkan komitmen kerajaan supaya Malaysia tidak hanya cemerlang dalam kejayaan terdahulu, sebaliknya terus menempa kecemerlangan baharu.

"Pelan ini turut menggambarkan kesedaran Malaysia terhadap apa yang perlu dicapai sekiranya ingin menerajui kepakaran dalam pendidikan, penyelidikan, inovasi dan keusahawanan di rantau Asia," katanya.

Peningkatan jumlah graduan

Rubinstein berkata, pelan itu antara lain memperincikan hala tuju pencapaian Malaysia untuk memperkukuhkan peningkatan jumlah graduan pengajian Sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Katanya, peningkatan berkenaan seterusnya akan meningkatkan penghasilan kertas kajian dan paten yang dihasilkan penyelidik dalam pelbagai bidang mengikut permintaan pasaran ekonomi.

"Pencapaian Malaysia menerusi pelaksanaan PPPM (PT) diterjemahkan menerusi 10 lonjakan yang merangkumi pendidikan tinggi, ekonomi dan aspirasi sosial dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

"Saya kagum dengan perincian pelan ini kerana setiap elemen dalam 10 lonjakan itu memberi gambaran kejayaan atau matlamat yang perlu ditempa dan mekanisme untuk mencapainya.

"Jika pelan ini dilaksana mengikut perancangan, daya saing Malaysia pada peringkat global khususnya, kekuatan ekonomi dan sosial bakal menunjukkan peningkatan mendadak pada masa depan," katanya.

Pensyarah Teknologi, Sains Kesihatan dan Biologi, Institut Teknologi Massachusetts (MIT) Amerika Syarikat, Prof Anthony Sinskey, pula berkata PPPM (PT) adalah kunci kemajuan taraf pendidikan Malaysia ke tahap seterusnya.

Laksana secara berperingkat

Pelan yang dilaksana secara berperingkat mengikut tiga gelombang utama itu katanya, mengenal pasti pelbagai isu kritikal yang perlu diatasi menggunakan pendekatan menyeluruh.

"Penyelesaian isu kritikal membabitkan geran penyelidikan, pendekatan pembelajaran, autonomi universiti awam dan swasta akan mengubah landskap pendidikan tinggi Malaysia.

"Berbekalkan sokongan dan komitmen semua pihak untuk menjayakan setiap matlamat yang digariskan dalam PPPM (PT), Malaysia berupaya menjadi peneraju kemajuan di rantau Asia," katanya.

Berita Harian X