Khamis, 9 April 2015 | 12:01am
MULA didedahkan dengan Muay Thai ketika melancong di Phuket, Thailand beberapa tahun lalu.. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Genah jatuh cinta dengan Muay Thai


BAGI penggemar sukan Muay Thai, nama Genah Fabian tidak asing dalam sukan lasak itu. Malah, jika perkara itu dicari dalam enjin carian Google, banyak koleksi video yang memaparkan aksi beliau bertarung disenaraikan.

Tubuhnya yang tegap dan tinggi lampai membolehkan wanita muda berusia 25 tahun yang berasal dari New Zealand ini menerokai bidang yang luar biasa berbanding mereka yang seusianya.

Beliau yang kini bergelar jurulatih Muay Thai, berkata minat terhadap sukan berkenaan yang dikategorikan sebagai seni mempertahankan diri bermula beberapa tahun lalu.

Beliau mula didedahkan dengan sukan itu ketika melancong di Phuket, Thailand beberapa tahun lalu.

GENAH Fabian di Muayfit Fitness, Damansara Perdana. - Foto Hasriyasyah Sabudin

"Sebelum ini, saya tidak pernah belajar, apatah lagi minat dengan mana-mana seni bela diri. Ketika saya bercuti di Phuket bersama rakan, kami hanya mencari aktiviti untuk dilakukan bersama. Ketika berada di situ, saya mula mengenali Muay Thai dan kemudian mempelajarinya.

"Selepas beberapa hari berlatih, saya terus jatuh cinta dengan sukan ini dan meneruskan sehingga ke hari ini," katanya ketika ditemui FAMILI, di Muayfit Fitness, Damansara Perdana.

Sukan unik

Genah berkata, sukan yang membabitkan banyak pergerakan anggota badan itu sangat menyeronokkan.

"Saya juga seronok dapat mengetahui latar belakang sejarah Muay Thai yang berasal dari Thailand. Saya difahamkan mengikut sejarahnya, ia bermula dengan seni mempertahankan diri purba Muay Boran yang digunakan pada zaman dulu untuk menyerang musuh empayar Siam.

"Seni ini menggunakan tangan, kaki, siku dan lutut untuk berlawan. Nama lain bagi Muay Thai ialah sains lapan anggota badan. Inilah uniknya Muay Thai," katanya.

Sebagai seorang yang memang lasak dan sukakan cabaran, Genah melihat Muay Thai sebagai satu bentuk hobi yang baik dan boleh dijadikan sebagai kerjaya.

"Saya sangat aktif bersukan sejak di bangku sekolah. Oleh itu, apabila menceburi Muay Thai dengan pergerakan pantas menjadikan saya tidak kekok untuk aktif dalam kegiatan lasak. Saya melihat Muay Thai juga bukan sekadar untuk aktiviti sihat, malah ia adalah antara cabang seni mempertahankan diri.

"Justeru, pilihan saya tepat. Dengan kemahiran yang ada, saya terus minat untuk menjadi jurulatih Crossfit, selain melatih peninju baharu. Kelas latihan itu sudah diadakan sejak tiga tahun lalu," katanya yang pernah menjuarai beberapa kejohanan Muay Thai sebelum ini.

Dengan minat, latihan intensif dan keazaman, sesiapa saja mampu menguasai Muay Thai: Genah Fabian - Foto Hasriyasyah Sabudin

Tiga tahun belajar Muay Thai

Menariknya, Muay Thai dikatakan seni bela diri yang paling digeruni di dunia. Peninju Muay Thai terlatih menggunakan tumbukan, sepakan, serangan dengan siku dan lutut yang boleh membawa maut.

Selepas tiga tahun mengutip pengalaman, ilmu dan kemahiran dalam bidang ini, Genah mula menjadi tenaga pengajar kepada peninju baharu untuk mengikuti jejak langkahnya yang begitu mahir.

Katanya, menerusi latihan intensif dengan keazaman dan minat yang tinggi, sesiapa saja mampu menceburi bidang itu secara profesional.

"Seni ini tidak membosankan dan ia seperti kita melakukan rutin sama di dalam gimnasium. Ia mudah dipelajari dan tidak memerlukan pakaian khas untuk berlatih. Muay Thai sesuai untuk semua peringkat umur.

"Jika seni mempertahankan diri lain memerlukan anda berlatih sehingga mencapai satu tahap dan dianugerahkan tali pinggang mengikut tahap, berbeza dengan Muay Thai yang kemahirannya diuji di dalam gelanggang dengan tali pinggang kejuaraan menjadi rebutan peninju," katanya.

GENAH melihat Muay Thai sebagai hobi yang baik dan boleh dijadikan kerjaya. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Sertai enam pertandingan

Sehingga kini, Genah sudah menyertai lebih enam pertandingan Muay Thai di beberapa negara dan berusaha menempa namanya sebaris dengan peninju wanita terhebat dunia.

"Jantina bukan penghalang untuk menceburi sukan ini. Sekiranya kita mempunyai minat dan disiplin yang tinggi, kita mampu menjadi peninju.

"Menerusi sukan ini juga, saya banyak merantau bagi mengembangkan lagi seni mempertahankan diri," katanya.

PROFIL

Nama: Genah Fabian

Usia: 25 tahun

Tempat lahir: Auckland, New Zealand

Kerjaya: Jurulatih American Kick Boxing Academy (AKA) di Thailand

Pengalaman: Pernah menyertai enam perlawanan Muay Thai

BAGI Genah, sukan Muay Thai yang membabitkan banyak pergerakan anggota badan sangat menyeronokkan. - Foto Hasriyasyah Sabudin

INFO

- Muay Thai atau Thai Boxing adalah sukan kebangsaan dan seni mempertahankan diri di Thailand.

- Wujud sejak beratus tahun lalu sebagai ilmu mempertahankan diri yang menggunakan seluruh badan sebagai senjata mempertahankan diri.

- Menggunakan anggota badan seperti tangan, kaki, siku dan lutut untuk bertarung dengan musuh.

Berita Harian X