Rabu, 8 April 2015 | 1:20am

Pemangkin transformasi

KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi, PPPM (PT), akan menjadi pemangkin kepada transformasi negara untuk bersaing pada peringkat global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata PPPM (PT) juga mampu mencapai matlamat kerajaan untuk melahirkan graduan berkualiti serta seimbang, yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Katanya, pelan itu juga mampu melahirkan modal insan yang dikategorikan sebagai 3B iaitu berbakat kualiti, bertaraf global dan berteraskan nilai positif.

"Saya yakin PPPM (PT) mampu melahirkan pelajar yang berakhlak mulia, mempunyai etika, bermoral baik dan akhirnya berupaya menyumbang kepada transformasi negara.

"Inilah yang kita hendak bangunkan... ciri-ciri positif, mempunyai kemahiran kepemimpinan dalam apa juga situasi, kemahiran berfikir dan soal identiti kebangsaan yang ditekankan tentang bahasa Malaysia, kerana ini ciri identiti kebangsaan kita," katanya ketika berucap merasmikan PPPM (PT) di sini, semalam.

Yang hadir sama pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan.

PPPM (PT) menetapkan 10 lonjakan bagi menyokong lima aspirasi sistem pendidikan tinggi yang memberi tumpuan kepada akses, ekuiti, kualiti, kecekapan dan perpaduan.

NAJIB dan Muhyiddin melihat buku pelan pembangunan bersama sebahagian wakil pelajar institut pengajian tinggi selepas melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025
NAJIB dan Muhyiddin melihat buku pelan pembangunan bersama sebahagian wakil pelajar institut pengajian tinggi selepas melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025

Kuasa autonomi

Perdana Menteri berkata, beliau tertarik dengan pelan pembangunan itu yang mencadangkan supaya universiti diberikan beberapa kuasa autonomi

"Universiti patut diberikan autonomi yang lebih dan ini termasuk kuasa Kementerian Kewangan diturunkan ke universiti, kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mungkin juga diturunkan ke universiti," katanya.

Najib berkata, universiti di negara ini juga perlu mencari sumber kewangan sendiri dan tidak terlalu mengharapkan peruntukan tambahan daripada kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan menimbang pemberian bajet tambahan kepada universiti yang menunjukkan prestasi tinggi, bagaimanapun universiti perlu meningkatkan produktiviti dan kecekapan terutama dalam memastikan kebolehpasaran graduan mereka.

Perdana Menteri berkata, ketika ini kerajaan menyediakan peruntukan besar untuk perbelanjaan pendidikan tinggi serta latihan, iaitu antara yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN dan beberapa negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan.

Berita Harian X