Rabu, 8 April 2015 | 1:15am

Kementerian sasar 650,000 pelajar TVET tahun 2025

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menyasarkan peningkatan keseluruhan 650,000 pelajar dalam program Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) menjelang tahun 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia selaras dengan Lonjakan Keempat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, PPPM (PT), untuk meningkatkan graduan TVET berkualiti.

"Melalui peningkatan kapasiti TVET, kementerian menyasarkan 2.5 kali ganda peningkatan keseluruhan enrolmen TVET kepada 650,000 pelajar menjelang tahun 2025, di mana 300,000 daripadanya didaftarkan dalam program di bawah Kementerian Pendidikan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran PPPM (PT) di sini, semalam.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Yang turut hadir pada majlis itu, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan.

Tubuh JPTP

Pada masa sama, Muhyiddin turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pendidikan Tinggi Putrajaya (JPTP) yang dipengerusikan sendiri oleh beliau dan dibantu Menteri Pendidikan II, pemimpin utama sektor awam serta warga akademik, pakar dan wakil badan bukan kerajaan (NGO).

"Satu inisiatif yang akan dilancarkan tidak lama lagi adalah Program Transformasi Universiti yang berdasarkan Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

"Saya akan pantau pelaksanaan pelan ini secara 'hands-on' dan akan membuat keputusan dari semasa ke semasa untuk membolehkan agenda pelan ini dilaksanakan sebaik mungkin," katanya.

PPPM (PT) menggariskan 10 lonjakan bagi menyokong lima aspirasi sistem iaitu akses, ekuiti, kualiti, kecekapan dan perpaduan.

Beliau berkata antara penekanan utama PPPM (PT) ialah, melahirkan graduan holistik dan seimbang, yang berilmu dan berakhlak serta mempunyai keupayaan untuk menyumbang kepada negara dan dunia.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, melalui pelan itu juga universiti awam turut dibenarkan membangun dan melaksanakan skim pelbagai trek melalui proses penurunan kuasa dalam aspek sumber manusia.

"Dari segi tadbir urus institusi pengajian tinggi (IPT), kementerian akan beralih daripada menjadi pengawal tegas kepada pengawal selia dan pembuat dasar. IPT akan terus diberi kuasa autonomi berdasarkan tahap kesediaan yang diimbangi akauntabiliti melalui kontrak prestasi lima tahun bagi semua universiti awam.

"Untuk pembiayaan pelajar, kemapanan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan ditingkatkan melalui penambahbaikan formula pembayaran balik yang akan beralih kepada bentuk pinjaman luar jangka, ini bermakna graduan perlu membayar balik pinjaman apabila mereka memperoleh pendapatan pada tahap tertentu," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X