Isnin, 6 April 2015 | 10:41am

Persediaan tangani isu global

KUALALUMPUR: Graduan yang dihasilkan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, PPPM (PT), berupaya menangani cabaran global khususnya yang membabitkan krisis dalam tempoh 50 tahun akan datang.

Profesor Ulung Negara, di Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (ISTAC), Tan Sri Dr M Kamal Hassan, berkata 10 lonjakan yang ditetapkan dalam PPPM (PT) bukan saja berupaya membentuk graduan seimbang dan holistik, malah mampu memberikan penyelesaian terhadap kegawatan global pada masa depan.

"Sebagai seorang pemerhati senario perubahan dunia, saya bimbang fenomena krisis dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, perbankan, alam sekitar, moral dan geopolitik akan melanda dunia dalam tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang.

"PPPM (PT) ini merangkumi lonjakan positif yang mampu membentuk graduan bersepadu secara holistik.

"Justeru, pada peringkat kementerian dan pendidik bukan saja mengutamakan aspek kognitif (pemikiran), teknologi, saintifik dan profesional dalam pelan ini, malah perlu ada gabungan aspek moral, kerohanian dan agama," katanya.

PPPM (PT) dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, esok.

Kamal yang juga bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, pelan baharu yang bakal dilaksanakan Kementerian Pendidikan itu bertepatan pada waktunya dan dijangka berjaya dengan perancangan yang baik.

Pupuk nilai jati diri negara

"Kerajaan mewujudkan pelan ini bukan hanya untuk tahun 2025 tetapi 2050. Ia tidak hanya memfokuskan untuk melahirkan graduan yang seimbang dan mempunyai daya keusahawanan global tetapi juga memupuk nilai jati diri dan menjadi warga negara bersifat murni yang boleh ditonjolkan di negara luar," katanya.

Katanya, Malaysia mempunyai masyarakat berbilang agama yang mementingkan aspek kerohanian dan etika dalam membentuk pembangunan insan.

"Kita ambil ini (rohani dan etika) sebagai acuan dalam pelan baharu dan membentuk graduan yang bukan saja jadi pencari kerja tetapi pemimpin yang dapat mengatasi krisis global, apa lagi polarisasi politik yang semakin meruncing," katanya.

Bagaimanapun, katanya, universiti kini berdepan cabaran besar dalam menterjemahkan kurikulum dan sistem pendidikan lebih berkesan bagi membawa perubahan yang dihasratkan kerajaan.

"Cabaran bagi pemimpin universiti kini adalah bagaimana mereka membawa ekosistem baharu yang kondusif, membentuk dan mengekalkan bakat graduan.

"Adakah pensyarah sedia ada mampu membawa perubahan ini atau kita perlu memberi pendedahan baharu kepada mereka bagaimana mengendalikan kurikulum berimbang dalam melaksanakan pelan ini," katanya.

Kamal bagaimanapun yakin, sokongan kementerian dan kesedaran pihak pemimpin dapat membantu mencapai kurikulum dan sistem pendidikan baharu mengikut acuan sendiri.

Berita Harian X