Jumaat, 3 April 2015 | 6:39pm
BARISAN bekas-bekas juara Ironman bergambar dengan wakil-wakil penaja selepas sidang media Ironman 70.3 Putrajaya Malaysia di Bangunan Perbadanan Putrajaya. - Foto NSTP

1,300 atlet sertai Time Ironman 70.3 di Putrajaya, Ahad ini

PUTRAJAYA: Pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, Putrajaya akan menjadi tuan rumah kejuaraan Time Ironman 70.3 Putrajaya buat kali kedua, Ahad ini.

Penganjur kejuaraan Time Fibre Optic Communications dalam kenyataan di sini berkata lebih 1,300 atlet dari 55 negara seluruh dunia akan mengambil bahagian dalam cabaran bertemakan 'Race In Putrajaya, The Intelligent Garden City'.

"Atlet antarabangsa membentuk 64 peratus daripada senarai peserta, Malaysia negara terbesar yang diwakili dengan 34 peratus mengambil bahagian manakala Singapura kedua terbesar dengan 22 peratus atlet mengambil bahagian," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, siri kejohanan Ironman 70.3 merujuk kepada jumlah jarak keseluruhan sejauh 113 kilometer bermula dengan acara renang sejauh 1.9km, berbasikal 90 km dan berakhir dengan larian sejauh 21.1 km.

Cabaran itu memberi peluang kepada peserta melalui beberapa ikon indah di Putrajaya.

Acara renang satu pusingan akan berlangsung di tasik buatan Putrajaya dengan berlatarbelakangkan Jambatan Seri Saujana. Acara Berbasikal sejauh 90 km akan melepasi Masjid Tuanku Mizan dan Cyberjaya.

Larian 21.1 km itu akan memberi peluang kepada peserta melalui landskap indah Taman Wetland dan beberapa bangunan kementerian yang unik termasuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Ketua Pegawai Eksekutif Ironman Asia Pasifik Geoff Meyer dalam sidang media sempena kejohanan itu di sini hari ini berkata bilangan atlet triathlon di Malaysia telah berkembang dengan ketara bermula dari Ironman pertama 70.3 Putrajaya tahun lalu.

Naib Presiden (Kewangan) Perbadanan Putrajaya Datuk Rogaizat Abdullah berkata dengan keadaan jalan yang lebar, penjalan kaki dan pemandangan indah, Putrajaya menyediakan landskap menarik bagi acara berkenaan. - BERNAMA

Berita Harian X