Jumaat, 27 March 2015 | 10:45pm

Fosil kayu 280 juta tahun di Perlis

diyanah@bharian.com.my


Pengarah Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG) Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Zainol Husin menunjukkan kawasan fosil batang pokok yang berusia 280 juta tahun dijumpai di Semadong. - Foto Eizairi Shamsudin

PADANG BESAR: Selepas penemuan fosil dinosaur di negeri Pantai Timur Semenanjung, kini Perlis pula merekodkan penemuan fosil kayu dianggarkan berusia 280 juta tahun.

Fosil batang kayu terbabit ditemui dalam batu di kawasan Bukit Chondong dekat Beseri di sini, hasil penyelidikan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, sejak dua tahun lalu.

Pengarahnya, Zainol Husin, berkata fosil batang pokok terbabit yang mempunyai kelebaran hampir 10 sentimeter dan panjang kira-kira satu meter ditemui susulan penyelidikan mengenai arkeologi kawasan berkenaan oleh jabatan itu.

Beliau berkata, pihaknya percaya fosil batang kayu itu kemungkinan besar berusia sebelum jurasik iaitu ketika zaman Paleozoik, khususnya era Perm.

"Pada era itu, hutan begitu banyak di kawasan terbabit dan hidupan marin tanpa tulang belakang juga pupus. Kita percaya batang kayu berkenaan terawet ketika pemendapan batu dan pasir berlaku pada penghujung era dimaksudkan.

"Penyelidikan lanjut mengenai batang pokok terbabit masih dijalankan JMG bagi mengenal pasti nama asal serta jenis kayu berkenaan untuk memudahkan penyelidikan seterusnya," katanya ketika ditemui di tapak penemuan itu, hari ini.


Fosil batang pokok yang berusia 280 juta tahun yang dijumpai di Semadong, Padang Besar. - Foto Eizairi Shamsudin

Terdahulu, beliau merasmikan majlis penutup Kursus Eksploitasi Mineral Perindustrian yang berlangsung sejak Selasa lalu hingga semalam di Hotel Putra Palace di sini.

Zainol berkata, susulan penemuan itu, pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan negeri agar mewartakan kawasan bukit terbabit sebagai tapak warisan geologi, bagi melindungi dan memulihara kawasan sekitar tapak penemuan berkenaan.

Ini kerana, pihaknya percaya kemungkinan besar lebih banyak fosil sedemikian ada di kawasan berkenaan, selain beberapa kawasan lain sekitar negeri ini yang mungkin mempunyai fosil kayu berusia jutaan tahun seperti di Utan Aji dan Gua Bukit Kubu di Kangar.

"Selain mengawal kawasan terbabit sebagai warisan geologi, pewartaan kawasan berkenaan bakal memberi peluang kepada orang lain sama ada warga tempatan dan luar, untuk melihat sendiri beratus-ratus fosil berusia jutaan tahun di sini.

"Ia juga boleh digunakan bagi tujuan pendidikan dan penyelidikan, selain berpotensi besar dijadikan destinasi pelancongan baharu di negara ini," katanya.

44 dibaca
Berita Harian X