Selasa, 24 March 2015 | 1:56am

Seimbang akademik, sahsiah

KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, PPPM (PT), berupaya memberi keseimbangan dalam bidang akademik dan sahsiah.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, berkata selain itu, pelbagai inisiatif dalam PPPM (PT) juga akan membantu graduan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan lebih berdaya saing, kreatif serta inovatif.

Tepati keperluan global

"Pelan ini akan membantu universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan memperkemaskan pelaksanaan strategi pembangunan masing-masing berteraskan garis panduan lebih holistik dan menepati keperluan global," katanya.

PPPM (PT) dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 7 April ini.

Beliau berkata, malah PPPM (PT) memberi tumpuan lebih meluas bukan sahaja dalam aspek penyampaian ilmu pada peringkat pengajian tinggi, tetapi juga aspek pembentukan graduan bersahsiah tinggi dan seimbang.

Katanya, pelan terbabit membuka ruang kepada setiap universiti dan IPT melaksanakan inisiatif masing-masing dengan lebih pantas untuk memenuhi keperluan industri menjelang tahun 2025.

"Inisiatif yang diperkenalkan ini akan ada sokongan dan kemudahan pada peringkat kementerian untuk meningkatkan interaksi antara pihak swasta dan industri, selain membangunkan ekosistem keusahawanan," katanya.

Beliau berkata PPPM (PT) juga memberikan ruang kepada IPT menghasilkan pendapatan sendiri menerusi pelbagai aktiviti selain bergantung kepada dana kerajaan.

"Saya percaya setiap universiti mempunyai kerangka strategi masing-masing. Kita bukan saja saling bekerjasama merealisasi hasrat dalam PPPM (PT), malah bersaing dengan kekuatan dan keunikan tersendiri," katanya.

Penuhi keperluan negara

Mengenai inisiatif Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET), Noor Azlan berkata pertambahan graduan dalam bidang itu akan membantu memenuhi keperluan negara terhadap tenaga kerja yang berkemahiran dan berkualiti.

"Satu daripada lonjakan PPPM (PT) adalah memartabatkan TVET yang mengubah tanggapan kemahiran adalah pilihan kedua.

"Kemahiran perlu menjadi teras dalam program pengajian. Ia berikutan, laporan daripada bahagian sumber manusia mendapati ada kelompangan berkaitan bidang kemahiran," katanya.

Berita Harian X