Sabtu, 21 March 2015 | 12:06am

`Dengar kepala digerudi'


PEMBEDAHAN di bahagian kepala berisiko meninggalkan kesan sampingan kepada pesakit.

Mohd Nazaran Hamzah, 55, seorang kakitangan Syarikat Air Negeri Sembilan, berasa lemah sebelah tangan dan badan pada Disember 2013. Beliau sebelum itu sememangnya menghidapi penyakit darah tinggi dan diabetes.

"Saya juga sering nak pitam menyebabkan anak-anak melarang saya memandu kereta. Selain tangan lemah, saya juga kerap diserang sakit kepala dan sakit di belakang tengkuk," ceritanya.

Oleh kerana tidak tahan menanggung kesakitan, beliau merujuk penyakit yang dialaminya di Hospital Seremban dan doktor kemudian melakukan imbasan di kepala. Doktor mengesyaki ada ketumbuhan di kepalanya, tetapi tidak dapat disahkan.

Beliau kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani imbasan imej resonans magnetik (MRI) untuk pemeriksaan lanjut. Hasil ujian mengesahkan ada ketumbuhan di bahagian kanan kepalanya, yang menyebabkan anggota tubuh badan Mohd Nazaran lemah.

Pada temu janji berikutnya di HKL, pakar menasihatkan beliau untuk menjalani pembedahan segera kerana bimbang ketumbuhan itu akan membesar dan simptom yang dialaminya menjadi lebih teruk.

Beliau disarankan untuk menjalani pembedahan awake craniotomy iaitu pembedahan membuang ketumbuhan otak dalam keadaan sedar. Lebih menarik, beliau adalah pesakit pertama yang akan menjalani pembedahan berkenaan di HKL.

Yakin pembedahan berjaya

Bagaimana perasaannya apabila diberitahu kepala akan dibedah dalam keadaan sedar Mohd Nazaran berkata beliau tidak berasa takut kerana pasukan pembedahan di HKL memberi kata-kata semangat menyiapkan dirinya berdepan keadaan getir itu menyebabkan beliau lebih yakin pembedahan itu akan berjaya.

Menceritakan apa yang berlaku dalam bilik pembedahan, beliau mendengar kepalanya dipasang skru (untuk mengelak pergerakan) dan tengkorak kepalanya digerudi, namun tidak berasa sakit walaupun sedar sepanjang proses itu.

Beliau hanya tinggal dua hari dalam wad dan selepas itu dibenarkan balik ke rumah di Sikamat, Negeri Sembilan.

"Selepas dibedah saya demam dan diserang sawan sebanyak dua kali, sekali di hospital dan sekali di rumah namun selepas makan ubat keadaan saya pulih seperti biasa.


PAKAR bedah perlu melakukan pemetaan.

Cepat pulih

"Doktor mengatakan ia kesan biasa selepas pembedahan. Saya bergantung kepada ubat untuk mengelak serangan sawan dan demam," katanya yang mengambil cuti sakit dua bulan selepas pembedahan itu, yang pertama kali dilakukan oleh HKL pada 1 Julai lalu, yang dilakukan kali pertama oleh HKL 1 Julai lalu.

Keadaan beliau kini lebih baik dan hanya perlu mengambil ubat di Hospital Seremban. Beliau juga sudah boleh memandu untuk perjalanan dekat dan memerlukan sekurang-kurangnya tempoh empat bulan hingga enam bulan lagi untuk memandu seperti biasa.

"Boleh saya katakan, tempoh pemulihan yang saya lalui memang cepat kerana saya tidak tinggal lama di wad, hanya dua hari. Walaupun saya diserang demam dan sawan, ia hanya kesan sementara selepas pembedahan. Alhamdulillah, saya juga sudah bekerja seperti biasa," katanya yang dijaga isteri dan lima anak berusia antara 22 tahun dan 26 tahun sepanjang sakit.

Pantau pesakit sepanjang prosedur

Apa saja pembedahan membabitkan bahagian otak dianggap merumitkan kerana otak menjadi pusat arahan kepada sistem saraf manusia. Ia menerima input daripada organ deria dan menghantar maklumat kepada otot.

Otak manusia memiliki struktur asas sama seperti otak mamalia lain, namun ia lebih `berjisim' - lebih besar jika dibandingkan dengan saiz tubuh berbanding mana-mana otak lain.

Timbalan Ketua dan Pakar Perunding Pembedahan Saraf, Jabatan Pembedahan Saraf HKL, Dr Azmi Alias, menjelaskan, otak boleh dianggap sebagai sebuah komputer hebat yang amat kompleks.

"Ia adalah 10,000 kali lebih rumit berbanding sebuah komputer hebat, yang boleh direka oleh mana-mana pakar komputer terkenal. Otak juga sebenarnya satu sistem pendawaian kerana sesetengah bahagian otak mengawal fungsi tertentu tubuh manusia, lebih jauh sesuatu pendawaian itu lebih kritikal fungsinya.

"Ada juga bahagian otak yang terletak agak dekat dengan permukaan kulit yang mengawal sesetengah fungsi manusia seperti pergerakan, motor atau percakapan serta deria rasa," katanya.

Dr Azmi berkata, bagi seseorang pakar bedah, adalah lebih baik jika pembedahan membuang ketumbuhan pada bahagian kepala dilakukan dalam keadaan fungsi tubuh pesakit, seperti percakapan atau pergerakan dapat dikekalkan seperti biasa.


PESAKIT perlu berkomunikasi sepanjang pembedahan untuk memantau perkembangan mereka.

Risiko saraf rosak

"Apabila pembedahan dilakukan dengan cara tradisional atau pesakit diberi pelali umum (GA) (tak sedar sepanjang proses), selepas pembedahan kita hanya berharap pesakit dapat bangun tanpa apa-apa komplikasi. Risiko pembedahan ini, seseorang pakar bedah mungkin merosakkan saraf otak pesakit tanpa mereka ketahui atau tidak banyak membuang ketumbuhan itu kerana bimbang menyebabkan kerosakan lebih besar.

"Menerusi pembedahan secara sedar, kita dapat menilai pesakit sebelum dan ketika menjalankan pembedahan. Kita dapat mengetahui bahagian ketumbuhan mana yang selamat atau tidak selamat untuk dikeluarkan tanpa menjejaskan fungsi tubuh pesakit," katanya.

Awake craniotomy dilakukan ketika pesakit dalam keadaan sedar disebabkan otak tidak memiliki reseptor sakit. Bermakna otak tidak merasai kesakitan. Ubat pelali diberikan kepada pesakit ketika membuka bahagian luar otak iaitu kulit kepala dan kranium, namun pembedahan membuang ketumbuhan itu sendiri tidak menggunakan ubat pelali.

Kaedah awake craniotomy ini, katanya, adalah manipulasi fisiologi asas tubuh manusia untuk memastikan pembedahan yang selamat dan tepat sekali gus memberi manfaat kepada pesakit, pakar bedah dan pakar bius.

Pemetaan fungsi tubuh

Mengulas kelebihan kaedah pembedahan itu, katanya, pakar bedah dapat melakukan pemetaan untuk mengetahui sejauh mana fungsi pesakit dapat dikekalkan jika ketumbuhan itu perlu dibuang.

"Sebaik tengkorak dibuka, kita menggunakan peranti kecil elektrik untuk merangsang bahagian tertentu ketumbuhan itu dan melihat jika pesakit dapat menggerakkan tangan atau tidak, atau jika pesakit berasa kebas, justeru kita tahu sebanyak mana ketumbuhan perlu dibuang.

"Kelebihan kedua ialah dalam keadaan sedar juga pesakit boleh dipasang dengan alat pengesan grid yang memberi maklum balas menerusi aliran elektrik untuk melihat jika pesakit mampu bercakap atau tidak. Dengan cara ini, barulah pakar tahu bahagian ketumbuhan mana boleh dibuang atau tidak," katanya kaedah itu juga sesuai bagi pesakit yang mungkin mempunyai alahan terhadap GA.

Tambahnya lagi, saiz ketumbuhan yang boleh dibedah perlu berada berdekatan dengan permukaan kulit kepala, tidak begitu dalam serta tidak membabitkan bahagian yang mengawal fungsi sedar kerana jika tidak, pesakit boleh koma selain pembedahan tidak boleh terlalu lama.

Selain Dr Azmi, pakar lain yang terbabit dalam pembedahan awake craniotomy di HKL ialah Pakar Bedah Saraf, Dr Mohammed Azman Mohammad Rafiq; Pakar Perunding Anestetik Saraf, Dr Vanitha Sivanaser dan Pakar Perunding Anestetik, Dr Zarina Abu Kasim.

Dr Vanitha yang mendapat latihan di Kanada untuk aplikasi kaedah pembiusan setempat itu berkata, awake craniotomy bukan baharu di Barat kerana ia sudah dilaksanakan sejak tahun 1980-an lagi manakala di Asia ia diperkenalkan pada tahun 2000.

Di Malaysia, hospital lain sudah terlebih dahulu melakukan kaedah ini seperti Hospital Ipoh, Hospital Sungai Buloh dan hospital lain di bawah seliaan Kementerian Kesihatan. Di HKL sendiri, sejak ia mula diperkenalkan pada 1 Julai lalu sehingga 13 Oktober, lapan pesakit berusia antara 22 tahun dan 73 tahun sudah menjalani kaedah ini.

Berkongsi gelagat pesakit sepanjang prosedur, Dr Vanitha berkata, ada pesakit mendengar ayat al-Quran dan ada yang bercerita mengenai bola sepak atau resipi sajian.

Berkomunikasi dengan pesakit

"Apa yang lebih penting, mereka dapat berkomunikasi dengan kami sepanjang pembedahan berlangsung di samping kami dapat memantau perkembangan mereka sepanjang pembedahan," katanya.

Dr Mohammed Azman menjelaskan saiz ketumbuhan seseorang pesakit itu menentukan jika mereka layak untuk menjalani pembedahan dengan kaedah awake craniotomy iaitu terletak kira-kira satu sentimeter (sm) dari tengkorak dan ketumbuhan tidak melebihi 5sm.

"Kami amat teliti dalam memilih pesakit kerana hanya yang menepati kriteria tertentu saja dibolehkan iaitu ketumbuhan tidak terlalu dalam, pesakit boleh memberi kerjasama yang baik dengan pasukan pembedahan dan tidak mempunyai masalah perubatan lain kerana perlu bertahan dalam satu kedudukan tertentu dalam tempoh agak lama," katanya sambil mengakui risiko pesakit tetap ada seperti serangan sawan atau demam atau komplikasi lain selepas pembedahan.

Katanya, tempoh masa yang diambil setakat ini ialah di antara empat setengah jam hingga lima jam walaupun pembedahan membabitkan bahagian otak biasanya mengambil masa antara enam hingga tujuh jam.

Ketika ini, HKL menjalankan dua pembedahan awake craniotomy dalam sebulan dan menyasarkan untuk menjalankan sekurang-kurangnya satu pembedahan dalam seminggu atau empat pembedahan dalam tempoh sebulan.

Berita Harian X