Sabtu, 14 March 2015 | 12:55am

Dengkur bawa maut?

Sering kali apabila terlampau letih, seseorang individu itu tidak sedar, tidur malamnya berdengkur. Perkara itu hanya diketahui keesokan hari apabila pasangan mengadu tidak selesa tidur kerana dengkuran terbabit.

Ada juga episod yang mana dengkuran kuat diselang seli dengan nafas yang tersekat-sekat, seolah-olah ada sesuatu yang menghalang aliran nafas dan juga saluran pernafasan.

Mungkin juga individu terbabit terjaga akibat gangguan itu, bagaimanapun dalam kebanyakan kes mereka tidak menyedarinya sehinggalah diberitahu pasangan.

Pakar Otolaringologi Hospital Pantai Bangsar, Dr Asha Gupta, berkata berdengkur hanyalah satu simptom, kemungkinan disebabkan berlaku halangan dalam saluran udara.

"Ia satu simptom dan tidak dianggap satu penyakit dengan sendirinya. Jika seseorang itu mengalami dengkur ringan, sederhana atau sekali sekala, tidak mengapa.

"Namun, berdengkur boleh dianggap sebagai petanda kepada penyakit lain jika mengalami dengkur dengan kuat dan tersekat-sekat atau terasa seolah-olah seperti tercekik apabila tidur waktu malam diikuti rasa teramat letih dan mengantuk pada keesokan harinya.

Apnea tidur

"Justeru, jika seseorang individu mengalami keadaan begini, berdengkur mungkin petanda mereka mengalami apnea tidur atau sekatan apnea tidur (OSA)," katanya.

OSA merujuk kepada penyumbatan saluran pernafasan bahagian atas, dikenal pasti apabila nafas terhenti beberapa kali ketika tidur walaupun seseorang individu itu berusaha untuk bernafas.

Ia dikaitkan dengan pengurangan jumlah oksigen yang sampai ke dalam darah. Sela nafas itu digelar apnea atau tanpa nafas, dalam tempoh di antara 20 saat hingga 40 saat.

Individu yang mengalami apnea tidur mungkin sering mengadu mempunyai masalah dengan daya ingatan, kerap sakit kepala pada waktu pagi, kerap berubah 'mood' atau berasa murung, kerap terjaga untuk membuang buang air kecil pada waktu malam (nokturia) dan keinginan untuk seks menurun.

Katanya, ada juga individu yang berdengkur kerana mereka letih atau berdengkur sekali sekala kerana beberapa faktor.

"Sesetengah orang hanya berdengkur sekali sekala, kadang kala apabila mereka berasa amat letih pada siang hari, waktu malam mereka berdengkur. Ada juga yang makan berat pada waktu malam, minum alkohol, makan ubat tidur atau tidur nyenyak mungkin berdengkur, justeru berdengkur bagi setiap orang berbeza," katanya.

Mengapa tekak merasa sakit selepas bangun pagi bagi individu yang berdengkur, beliau berkata, ini kerana apabila mereka tidur dan jika ada sekatan pada saluran pernafasan (hidung), secara automatik mulut akan terbuka untuk bernafas.

"Sebab itulah tekak berasa perit kerana tidur dengan mulut terbuka. Individu yang mengalami masalah sekatan saluran pernafasan mempunyai leher yang besar daripada biasa," katanya.

Jantung terpaksa kerja kuat

Kata Dr Asha, dengkur yang disertai dengan nafas yang tersekat-sekat sepanjang malam dan individu yang mengalaminya bernafas melalui mulut dan bukannya hidung, disebabkan individu itu mungkin mempunyai sekatan sama ada berpunca dari dalam hidung atau belakang hidung, bahagian atas tekak atau larinks, tonsil atau faktor yang menyebabkan saluran pernafasan tersumbat sekali gus menyumbang kepada apnea tidur.

"Apa yang terjadi apabila seseorang itu tidur kemudian berdengkur dengan nafas tersekat-sekat oksigen tidak sampai sepenuhnya menyebabkan jantung terpaksa mengepam darah lebih kuat untuk memastikan oksigen sampai ke seluruh tubuh.

"Sebab itulah mengapa mereka yang menghidap OSA tidak mendapat tidur yang sempurna dan masih berasa mengantuk pada waktu siang kerana tidak mendapat tidur yang sihat," katanya sambil menambah penghidap juga kerap sakit kepala akibat keadaan tidak cukup oksigen itu.

Mengulas jika keadaan fizikal seseorang menjadi faktor penyumbang kepada OSA, beliau berkata, ada juga individu yang tidak obes berdengkur jika berat badan mereka meningkat daripada kebiasaan, namun masalah itu berkurangan jika mempunyai berat ideal.

Majoriti lelaki 35 tahun ke atas

Beliau mengakui ramai kalangan penghidap OSA adalah obes yang mungkin mengalami penyempitan dalam bentuk tulang yang patah atau bengkok pada bahagian dalam atau tengah hidung, polip dalam hidung, tonsil atau lidah yang besar, leher lebih pendek dan sedikit besar atau berlemak.

Majoriti pesakit yang mengalami OSA adalah lelaki berusia 35 tahun ke atas, yang kebiasaannya berhenti mengamalkan gaya hidup sihat.

"Faktor lain yang menjadi penyumbang OSA adalah merokok, minum arak, individu yang tidak bersenam serta tidak mengamalkan gaya hidup sihat, termasuk dalam amalan pemakanan atau berhenti bersenam pada usia tertentu," katanya.

Apa terjadi jika OSA tidak dirawat, Dr Asha berkata, jika jantung kerap bekerja keras untuk mengepam darah beroksigen ke seluruh tubuh sekali gus meletakkan beban ke atas jantung, individu terbabit berisiko mendapat tekanan darah tinggi dan masalah jantung di kemudian hari.

"Peluang mendapat komplikasi jantung amat tinggi jika OSA dibiarkan tanpa rawatan. Jika OSA menjadi amat teruk dan individu menghidapnya tidak mendapat rawatan walaupun mengalami sekatan nafas untuk tempoh panjang, tidak mustahil individu terbabit tidak terjaga langsung daripada tidur dan mati dengan tiba-tiba. Keadaan ini digelar apnea jantung," katanya.

Pemakanan, gaya hidup sihat tangani OSA

Mereka yang mengalami masalah dengkur perlu menjalani pemeriksaan bagi memastikan sama ada mereka mengalami OSA. Pertama sekali, mereka akan menjalani ujian polisonografi, yang bertujuan mengkaji corak tidur seseorang pesakit.

"Pesakit akan dipantau sepanjang malam, yang mana corak tidurnya akan direkodkan, berapa kali mengalami apnea (nafas tersekat sambil berdengkur), berapa lama tempoh (nafas tersekat/terhenti) setiap kali gangguan itu berlaku.

"Mesin electrocardiogram (ECG) untuk melihat corak degupan jantung dan mesin electroencephalography (EEG) juga akan dipasang kepada pesakit untuk melihat fungsi otak pada masa yang sama," katanya.

Jika pesakit dipastikan mempunyai sekatan pada saluran pernafasan, maka pakar juga boleh melakukan endoskopi nasal (hidung) dengan memasukkan alat dari hidung ke bahagian saluran pernafasan atas dalam tekak atau menjalankan prosedur Flexible Nasopharyngolaryngoscope (FNPLS).. Ia bertujuan memeriksa bahagian dalam hidung dan saluran pernafasan di kawasan berkaitan.

Lakukan pembedahan

"Selepas diketahui punca utama OSA, baharulah kita akan tentukan rawatan. Misalnya, jika sekatan disebabkan anatomi atau keadaan saluran pernafasan yang boleh diperbetulkan menerusi pembedahan, kita akan lakukan pembedahan untuk membuang membuang polip umpamanya, memperbetulkan tulang hidung dan rawatan lain.

"Rawatan utama untuk OSA sebenarnya mengawal diet. Jika pesakit obes, kita perlu berbincang mengenai perubahan gaya hidup seperti mengamalkan pemakanan sihat, berhenti merokok dan berhenti minum alkohol," katanya.

Selain itu, katanya, jika pesakit ingin tidur selesa pada waktu malam, mereka boleh dibekalkan dengan mesin digelar CPAP (Positive Airway Pressure).

"Mesin ini membolehkan pesakit OSA bernafas lebih mudah ketika tidur kerana ia meningkatkan tekanan udara dalam tekak supaya saluran udara tidak berhenti terbuka apabila menarik nafas," katanya.

Adakah kanak-kanak yang berdengkur juga mempunyai potensi OSA, beliau mengatakan ia tidak mustahil kerana corak dengkur yang berlaku dalam kalangan dewasa juga boleh dialami kanak-kanak.

Kanak-kanak yang tidak dirawat apabila mengalami masalah apnea tidur mungkin seorang yang hiperaktif dan didiagnos dengan gangguan perhatian defisit hiperaktif (ADHD).

Simptom OSA

* Rasa mengantuk berlebihan pada waktu siang (hipersomnia)

* Berdengkur dengan kuat

* Mengalami episod nafas tersekat ketika tidur

* Terjaga daripada tidur dengan tiba-tiba diikuti sesak nafas

* Terjaga dengan mulut kering atau sakit tekak

* Sakit kepala pada waktu pagi

* Sukar untuk tidur (insomnia)

* Sukar memberi perhatian

Berita Harian X