Selasa, 10 March 2015 | 12:05am
ELLE Zada, Shahzada Khan. - Foto Saifullizan Tamadi.
ELLE Zada Fashion show 2015 di Dataran Wangsa Melawati. - Foto Saifullizan Tamadi.
ELLE Zada Fashion show 2015 di Dataran Wangsa Melawati. - Foto Saifullizan Tamadi.
ELLE Zada Fashion show 2015 di Dataran Wangsa Melawati. - Foto Saifullizan Tamadi.

Busana sang puteri patuhi syariat


ELLE Zada Fashion show 2015 di Dataran Wangsa Melawati.- Foto Saifullizan Tamadi.

KEHADIRAN fesyen Muslimah bukan saja mendapat sambutan menyeluruh dalam kalangan masyarakat hari ini bahkan memberikan persepsi berbeza terhadap pemakaian berlandaskan syariat Islam.

Selain revolusi rekaan, industri ini turut menunjukkan perubahan positif dalam persembahan fesyen dianjurkan pelopor jenama Muslimah apabila mula peka mengenai konsep syariah secara menyeluruh.

Antara perkara mula diberi perhatian sepanjang berlangsungnya persembahan fesyen Muslimah, termasuk gaya dan solekan, kemasan gaya, pengaruh material dan tidak kurangnya perwatakan peragawati sendiri.

Menyambut baik perkembangan itu, Elle Zada Boutique yang menawarkan koleksi rekaan Muslimah kontemporari tampil membuktikan tanggungjawabnya bagi menyemarakkan lagi permintaan industri itu menerusi persembahan fesyen berkonsepkan patuh syariat.


ELLE Zada Fashion show 2015 di Dataran Wangsa Melawati. - Foto Saifullizan Tamadi.

Ikut syariat

Buat julung kalinya, Elle Zada Boutique menampilkan persembahan fesyen berkonsepkan Muslimah sepenuhnya, selain mengetengahkan lima koleksi busana pengantin dan koleksi sedia pakai mengikut syariat pemakaian dalam Islam.

Pemilik butik, Elliyin Rasif, 27, berkata jenama itu bukan saja terpanggil menampilkan rekaan Muslimah tetapi ingin menghidupkan kesedaran menyeluruh berkaitan dunia fesyen Islam.

Menjalankan perniagaan bersama suaminya, Shazada Khan, 27, Elliyin berkata persembahan fesyen dianjurkan perlu mengikut cara betul sebelum dipertontonkan ke mata dunia.

"Islam tidak melarang pengikutnya mengenakan pakaian cantik tapi ia seharusnya dipersembah dan dipakai mengikut syarat ditetapkan.

"Jadi, sebagai penggerak industri fesyen di samping keghairahan mengejar permintaan pasaran, kita perlu menghormati peruntukan bergaya mengikut agama," katanya ditemui selepas persembahan fesyen Busana Pengantin Elle Zada Boutique, Wangsa Melawati, di ibu negara, baru-baru ini.


ELLE Zada Fashion show 2015 di Dataran Wangsa Melawati.- Foto Saifullizan Tamadi.

Tiada fesyen tertentu

Bekas pelajar jurusan seni bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, mengakui pementasan itu secara tidak langsung memberikan maklumat meluas terhadap konsep pemakaian dalam Islam.

"Kami ingin tonjolkan kepada masyarakat bahawa tidak ada fesyen tertentu ditetapkan Islam bagi pakaian.

"Ia terserah kepada kita untuk menentukannya mengikut pengalaman dan kebiasaan masing-masing.

"Cuma, syarak menetapkan pakaian hendaklah menutupi aurat, tidak jarang, tidak ketat atau sendat dan perlu sederhana," katanya.


Dari situ, katanya Elle Zada Boutique bukan saja memberikan komitmen terhadap cita rasa persalinan harian wanita tapi menampilkan lima koleksi pengantin menekankan hukum pemakaian.

Menggunakan material tebal dan rekaan longgar, kata Elliyin koleksi busana pengantin diketengahkan jenama itu memberikan keunikan dan keanggunan tersendiri.

"Idea menghasilkan koleksi pengantin ini bermula apabila pelanggan meminta kami tampilkan koleksi pengantin mengikut syariat.

"Biarpun agak sukar, tapi kami sahut cabaran memandangkan pasaran fesyen pengantin hari ini tidak banyak memberikan penekanan berkaitan perkara ini, " katanya.


ELLE Zada Fashion show 2015 di Dataran Wangsa Melawati. - Foto Saifullizan Tamadi.

Nilai eksklusif

Tampil berseri menerusi rona putih, Elliyin berkata dengan gandingan rekaan unik dan menggunakan material eksklusif menjadikan semua koleksi cukup menarik.

"Kami ingin mengekalkan nilai eksklusif rekaan menerusi paduan material mewah seperti satin, sifon dan renda diimport dari negara luar seperti Korea.

"Kelima-lima koleksi busana pengantin ini memberikan pengalaman pemakaian unik apabila ia boleh diulang pakai," katanya.

Boleh dipilih dari potongan gaun Princess atau kembang, kata Elliyin, elemen moden mengikut permintaan semasa turut diterapkan dalam setiap koleksi.

Akuinya, pemilihan perincian moden membuatkan pemakaian busana pengantin dari Elle Zada Boutique tampil berbeza dan menyuntik karakter feminin buat pemakai.

"Kami cuba terapkan elemen moden pada setiap koleksi pengantin biarpun ia tampil longgar.

"Menggunakan rekaan kontemporari, kami serlahkan rekaan dengan gabungan perincian mewah seperti batu Swavroski, manik berkualiti tinggi dan kemasan mawar 3D," katanya.


ELLE Zada Fashion show 2015 di Dataran Wangsa Melawati. - Foto Saifullizan Tamadi.

Pembeli lelaki lebih terperinci

Selain memberikan penggayaan baharu dalam konsep rekaan busana pengantin, Elle Zada turut membawa kelainan dalam rekaan jubah untuk lelaki.

Menghidupkan suasana pemakaian jubah lelaki moden, Syazada berkata persepsi generasi muda terhadap pemakaiannya kini kian berubah.

"Di Elle Zada, kami ingin menarik perhatian lebih ramai anak muda dalam soal pemilihan pemakaian yang sopan, selesa dan bergaya.

Justeru, kami memberikan keutamaan dari segi kelainan rekaan jubah agar ia relevan dan unik untuk dipakai biarpun untuk rutin harian," katanya.

Menghimpunkan koleksi jubah lelaki pelbagai warna berpotongan kemas, katanya perincian moden seperti butang, tampalan material kulit membuatkan imej tampil lebih bergaya.

Syazada berpendapat, pembeli lelaki lebih terperinci dalam soal rekaan persalinan. Katanya, oleh itu tambahan elemen segar menjadi teras dalam rekaan supaya ia akan membuatkan pemakaian jubah tampak lebih menarik.

"Pada saya, lelaki lebih terperinci dalam soal pembelian dan pilihan cita rasa. Selain sentiasa hauskan kelainan pada gaya dibawa, lelaki juga sangat sensitif dengan mainan warna diketengahkan.

"Berdasarkan pengalaman sendiri, saya cuba terapkan elemen dicari itu untuk tampilkan koleksi jubah lebih bergaya dan selesa di pakai," katanya.

INFO:

Syarat pemakaian mengikut Islam
* Pakaian tidak terlalu nipis hingga menampakkan bentuk tubuh.
* Pakaian perlu menutup aurat.
* Tidak terlalu ketat dan sendat, sebaliknya perlu longgar serta selesa dipakai.
* Warna dipilih sebaiknya suram atau gelap dan tidak menarik perhatian.
* Penampilan tidak menonjol dengan gandingan haruman terlalu kuat.* Koleksi persalinan wanita tidak menyerupai pemakaian lelaki dan begitu juga untuk rekaan pakaian lelaki.
* Elakkan persalinan yang terlalu menonjol dan bermegah.



PEMILIK Elle Zada, Eliyin Rasif, 26. -Foto Saifullizan Tamadi.

Rekaan busana pengantin

* 100 peratus patuh syariat.
* Rekaan tidak menonjolkan susuk tubuh atau menampakkan bayang-bayang.
* Menggunakan material tebal dan selesa.
* Menyelitkan elemen rekaan moden kontemporari.
* Menyuntik keindahan menerusi gabungan perincian mewah dan moden.
* Antara material digunakan adalah renda, satin dan satin diimport dari Korea.
* Perincian berkualiti tinggi seperti batu Swavroski, mutiara, manik dan mawar 3D menimbulkan kelainan rekaan.
* Himpunan koleksi mudah suai ini juga boleh dipakai berulang kali.
* Rekaan tidak terlalu meleret.
* Berpotongan pelbagai mengikut kesesuaian permintaan pelanggan.

Koleksi Jubah lelaki

*Elle Zada membawa koleksi jubah lelaki moden.
*Gabungan material moden sebagai perincian tambahan di bahagian bahu dan lengan menjadikan pemakaian lebih bergaya.
*Himpunan koleksi jubah lelaki dari rona semula jadi sesuai dijadikan persalinan harian.
*Pemakaian selesa menggunakan fabrik lembut menggunakan kain kapas.

Koleksi sedia pakai

*Selain busana pengantin dan jubah lelaki koleksi persalinan wanita turut diketengahkan.
*Elle Zada menghimpunkan koleksi rekaan yang mematuhi syariat.
*Kesemua koleksi ditampilkan hasil rekaan idea Ella Zada.
*Menawarkan koleksi hijab dan busana seperti jubah rekaan segar dengan paduan warna menarik sesuai dengan cita rasa wanita moden.
*Antara koleksi mendapat sambutan adalah Dolly Basic Jubah, Signature Hijab dan rekaan hijab labuh Dinarys.

Berita Harian X