Ahad, 1 March 2015 | 3:28pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan berucap dan memberikan penerangan di hadapan para jemputan dan pelajar pada Sesi pendengaran awam (townhall meeting) pelan pembangunan pendidikan Malaysia di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Skudai. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
TIMBALAN Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan berucap dan memberikan penerangan di hadapan para jemputan dan pelajar pada Sesi pendengaran awam (townhall meeting) pelan pembangunan pendidikan Malaysia di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Skudai. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Lebih 8,000 cadangan, maklum balas diterima berhubung PPPM (PT)

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan menerima lebih 8,000 cadangan dan maklum balas daripada pelbagai medium berhubung pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)-PPPM (PT) 2015-2025.

Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan, berkata cadangan dan maklum balas itu diterima daripada pelbagai pihak termasuk orang awam, golongan akademik, swasta, pihak industri dan pelajar.

"Kami (kementerian) berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam memberi input menerusi forum, internet dan enam sesi pendengaran awam yang diadakan di seluruh negara serta mendengar hujah yang kami kemukakan.

"Secara amnya, penyediaan pelan ini diterima baik semua pihak," katanya kepada pemberita selepas sesi pendengaran awam PPPM (PT) 2015-2025 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Kamalanathan berkata, penyediaan pelan berkenaan juga sudah dibentangkan kepada Kabinet dua minggu lepas dan mendapat beberapa maklum balas daripada anggota Kabinet.

Beliau berkata, pelan itu dijangka siap akhir bulan ini sebelum dijangka dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bulan depan.

Katanya, terdapat 10 lonjakan utama di dalam pelan itu yang amat diperlukan untuk membawa sistem pendidikan tinggi Malaysia ke satu tahap yang lebih baik pada masa akan datang.

- BERNAMA

Berita Harian X