Selasa, 24 Februari 2015 | 6:11pm

Korban selesema babi di India cecah 832

Pegawai keselamatan wanita memakai topeng bagi membendung wabak selesema babi (H1N1) di luar wad khas di Hospital Gandhi, Hyderabad, Telangana pada 20 Februari lalu. - Foto AP

NEW DELHI: India mencatat 20 lagi kematian akibat selesema babi (H1N1) semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 832 sejak wabak itu merebak awal tahun ini, dengan jumlah kes yang disahkan mencecah 14,000.

Kelmarin, sebanyak 38 kematian dilaporkan dalam satu hari dengan pihak berkuasa kesihatan di ibu negara ini dan beberapa bandar raya utama mempertingkatkan usaha membendung penyakit membawa maut ini dengan mengarahkan hospital dan makmal melakukan saringan darah.

Selain Delhi, negeri utama lain yang terjejas teruk ialah Rajasthan, Uttar Pradesh, Gujerat dan Telangana.

Negeri paling teruk terjejas setakat ini ialah Rajasthan dengan lebih 4,000 kes dilaporkan, melibatkan 200 kematian.

Delhi dan Gujerat sahaja masing-masing mencatat kira-kira 2,000 kes sepanjang tempoh dua bulan lepas.

Simpton selesema babi adalah sama dengan selesema biasa seperti batuk, demam, sakit tekak dan keletihan.

Aktivis sosial dan parti politik menyalahkan kerajaan yang mereka dakwa gagal mengambil tindakan sewajarnya bagi mengendalikan krisis kesihatan.

Mereka menyalahkan pihak berkuasa terutama di Delhi yang tidak memberi perhatian berikutan lawatan presiden Amerika Syarikat, Barack Obama baru-baru ini serta pilihan raya perundangan Delhi dua minggu lalu.

Hanya beberapa hari lepas sahaja kempen media melalui televisyen dan papan iklan digiatkan bagi mendidik dan memberi amaran kepada penduduk, dengan semakin ramai penduduk memakai topeng semasa berada di luar rumah.

Pemeriksaan di farmasi menunjukkan sekotak 50 keping topeng yang dijual pada harga 300 rupee (RM18) sebelum ini, meningkat kepada 600 hingga 700 rupee (RM35-RM40) kini.

Wabak itu juga menyebabkan pihak berkuasa kesihatan menetapkan kadar caj saringan darah pada 4,800 rupee (kira-kira RM280) dengan makmal-makmal swasta mengenakan bayaran sekali ganda.

Tahun lalu India mencatat 937 kes selesema babi dan 218 kematian.

- BERNAMA

Berita Harian X