Rabu, 18 Februari 2015 | 12:20pm

73 masjid terjejas dalam banjir di Pahang

MUSNAH ... Banjir besar baru-baru ini yang melanda Pahang turut mengubah geografi tebing Sungai Tembeling di Taman Negara. Kelihatan penduduk kampung menjala ikan di tebing Sungai Tembeling dengan berlatarbelakangkan pokok-pokok balak yang berusia puluhan tahun tumbang akibat arus deras. - Foto BERNAMA
MUSNAH ... Banjir besar baru-baru ini yang melanda Pahang turut mengubah geografi tebing Sungai Tembeling di Taman Negara. Kelihatan penduduk kampung menjala ikan di tebing Sungai Tembeling dengan berlatarbelakangkan pokok-pokok balak yang berusia puluhan tahun tumbang akibat arus deras. - Foto BERNAMA

KUANTAN: Sebanyak 7,300 naskhah al-Quran rosak, manakala 73 buah masjid terjejas semasa banjir besar melanda negeri Pahang baru-baru ini, mengakibatkan kerugian berjumlah hampir RM6.8 juta.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Mohamad Noor Abdul Rani berkata, masjid yang paling teruk terjejas adalah di daerah Jerantut dengan anggaran kerugian RM4.8 juta, diikuti Pekan (RM662,000), Temerloh (RM450,000), Lipis (RM390,000), Bera (RM238,000), Chenor (RM175,400) dan Maran (RM71,200).

Sementara itu, sebanyak lima buah Sekolah Menengah Agama (SMA) kelolaan kerajaan negeri turut terlibat dengan bencana itu hujung tahun lepas mengakibatkan kerugian bernilai RM2.38 juta.

"SMA Pulau Tawar di Jerantut merupakan sekolah paling teruk rosak dengan kerugian berjumlah RM1 juta.

"Wakil kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah melawat sekolah itu, namun kami masih menunggu keputusan sama ada mereka berhasrat menyumbang untuk tujuan baik pulih," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

SMA lain yang turut terjejas banjir ialah SMA Al-Wosto, Temerloh (RM500,000); SMA Al-Khairiah, Temerloh (RM451,350); SMA Guai, Bera (RM355,000) dan SMA Kuala Tembeling, Jerantut (RM82,000), jelas Mohamad Noor.

"Kerja pembaikan yang mustahak dan kecil telah dimulakan. Sesi persekolahan juga bermula menggunakan peralatan sedia ada, biar pun ada sedikit kekurangan. "Kami juga mahu cepat (melakukan kerja baik pulih), namun ia memerlukan peruntukan yang besar dan JAIP sedang berikhtiar untuk mendapatkan peruntukan. Harap pelajar dapat bersabar," katanya. Mohd Noor menambah pihaknya juga menerima sumbangan bernilai RM849,410 daripada pelbagai pihak termasuk daripada kerajaan negeri dan setiap sekolah diperuntukkan sebanyak RM20,000 bagi tujuan membaik pulih. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X