Khamis, 12 Februari 2015 | 8:28pm

PPPM-PT mampu lahirkan ramai sumber tenaga mahir pelbagai sektor - TPM

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan sumbangan Jabatan Pendidikan Sarawak kepada mangsa banjir yang diwakili oleh Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Serina Sauni (dua dari kanan) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Tan Sri Dr Madinah Mohammad (lima dari kanan) pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Warga Institusi Pendidikan Sarawak di Borneo Convention Centre Kuching, Kuching hari ini. - Foto Mas Adib Saie
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan sumbangan Jabatan Pendidikan Sarawak kepada mangsa banjir yang diwakili oleh Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Serina Sauni (dua dari kanan) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Tan Sri Dr Madinah Mohammad (lima dari kanan) pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Warga Institusi Pendidikan Sarawak di Borneo Convention Centre Kuching, Kuching hari ini. - Foto Mas Adib Saie

KUCHING: Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia - Pengajian Tinggi (PPPM-PT) 2015-2025 diyakini mampu mendukung usaha kerajaan dalam melahirkan lebih ramai sumber tenaga mahir dan profesional membabitkan pelbagai sektor, sekali gus membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pembangunan modal insan berasaskan pelan berkenaan bermatlamat melahirkan pelajar yang berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi dan mampu memenuhi keperluan industri sejurus menamatkan pengajian masing-masing.

"Melalui PPPM-PT 2015-2025 yang menggantikan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSTPN) turut menyumbang kepada pembangunan modal insan kelas pertama yang mampu menggunakan pengetahuan secara proaktif, kreatif dan inovatif.

"Malah, pembangunan modal insan ini, yang dilaksanakan melalui sistem pendidikan negara bukan saja boleh memenuhi tuntutan pembangunan ekonomi, bahkan perlu disertai dengan pengamalan dan penghayatan nilai yang tinggi," katanya pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Warga Institusi Pendidikan Sarawak, di sini.

Ia sebahagian daripada program sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke negeri ini, khusus bagi meninjau perkembangan semasa sosio-ekonomi, termasuk aspek pendidikan di Sarawak.

Hadir sama Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem; Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg dan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah yang turut memegang portfolio pendidikan negeri.

Bagi memastikan pelaksanaan pelan baharu itu secara lebih berkesan, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menjelaskan pihaknya sudah mengadakan beberapa siri pendengaran awam di empat lokasi termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Katanya, sesi pendengaran awam atau Town Hall PPPM-PT 2015-2025 itu bertujuan untuk berkongsi pandangan dengan masyarakat awam berhubung aspirasi kementerian untuk pendidikan tinggi.

"Pelan ini bermatlamat jelas menyediakan sistem pendidikan yang terbaik untuk melahirkan pelajar yang berpengetahuan, berkemahiran berfikir, berkebolehan untuk memimpin dan berkomunikasi dengan baik serta memiliki nilai kerohanian dan beridentiti nasional.

"Semua aspirasi ini akan disambut melalui PPPM-PT 2015-2025 untuk menghasilkan Bakat Terpelajar Dipacu Nilai yang seimbang dan holistik disertai minda keusahawanan dan jati diri nasional," katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Khas Bersama Warga Institusi Pendidikan Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) petang tadi.

Sementara itu, Muhyiddin menjelaskan Kerajaan Persekutuan sudah membina beberapa institusi pendidikan dan latihan teknik serta vokasional (TVET) di negeri ini bagi melahirkan modal insan untuk permintaan tenaga kerja mahir menjelang 2020.

Beliau berkata, ia agenda memperkasakan kecemerlangan bakat terus diperkukuhkan dengan pelaksanaan autonomi di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

"Menjelang 2020, permintaan terhadap tenaga kerja mahir adalah amat tinggi, justeru langkah untuk mengurus perdana bidang pendidikan dan latihan teknik serta vokasional giat dilaksanakan kementerian.

"Pada 2014, sebanyak RM2.1 bilion diagihkan kerajaan kepada institusi awam untuk menawarkan bidang TVET berbanding RM1.8 bilion pada 2010," katanya.

Berita Harian X