Sabtu, 30 Ogos 2014 | 12:24pm

Kami sayang Malaysia - Artis

Kami sayang Malaysia

KUALA LUMPUR: Tema Di Sini Lahirnya Cinta diangkat untuk Hari Kemerdekaan Malaysia esok. Genap 57 tahun kemerdekaan, negara kita terus megah berdiri. Di sebalik ujian dan cabaran getir yang dilalui, kita masih berjaya mempertahankan keamanan negara tercinta.

Kali ini berbeza sambutannya kerana ia dibuat secara sederhana kerana rentetan pelbagai peristiwa termasuk yang cukup memilukan hati rakyat Malaysia iaitu kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 dan tragedi MH17 dipercayai ditembak jatuh di Timur Ukraine.

BH Online berkongsi ucapan Hari Kemerdekaan yang ke-57 artis serta selebriti tanah air. Selamat Hari Merdeka buat semua pembaca akhbar BH serta BH Online.

Datuk Siti Nurhaliza

Sempena Hari Kemerdekaan yang ke-57, marilah kita bersama-sama menjaga keamanan, ketenteraman dan perpaduan yang ada. Jagalah kemakmuran negara kita dengan baik kerana kitalah pewaris generasi merdeka. Semoga kita akan terus dijauhi malapetaka dan ujian besar. Malaysia diuji dengan cukup hebat tahun ini dan semoga kita akan terus dilindungi Tuhan. Al-Fatihah buat yang terkorban dalam tragedi MH17.

Ziana Zain

Kita tahu negara kita sedang diuji. Kita sedang menghadapi saat yang menyukarkan apatah lagi dengan kejadian MH370 dan MH17. Sempena Hari Merdeka ini marilah kita sama-sama bersatu padu tak kira apa kaum pun, tak kira apa saja pegangan politik kerana apa yang paling penting kita patut bersyukur negara kita terus merdeka. Kita patut berterima kasih kepada pemimpin terdahulu yang bersusah payah untuk membangunkan Malaysia. Maka saya menyeru rakyat Malaysia marilah sama-sama kita berdoa supaya negara ini terus berada dalam keadaan yang aman. Selamat Hari Merdeka. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Datuk Aznil Nawawi

Selamat Hari Merdeka Malaysia. Semoga kita terus bersatu dalam melalui cabaran yang ingin melihat kita berpecah-belah. Pertahankan nilai kita dan setiap inci tanah air tercinta ini.

Lisa Surihani

Salam sejahtera, mari kita sama-sama raikan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-57 penuh kesederhanaan. Alhamdulillah saya amat bersyukur kerana dilahirkan di negara tercinta ini kerana di sinilah lahirnya cinta bak kata tema Hari Merdeka. Tepat sekali tema yang dipilih kerana walau berbilang kaum dan agama, kita bagaikan satu keluarga besar. Ia satu sifat dan cara yang diamalkan sejak dulu dan elemen inilah yang kita terus pegang serta amalkan di antara satu sama lain sekali gus untuk generasi akan datang. I Love Malaysia. Salam sayang dari saya.

Johan Asari

Di sini lahirnya sebuah cinta... sempena kemerdekaan negara kita yang ke-57, kita harus memanjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa kerana terus memberi nikmat ini. Doa setulus ikhlas untuk pemimpin negara supaya dapat terus mentadbir negara dengan adil dan saksama serta sentiasa memakmurkan negara. Justeru ayuh kita bersama-sama mengeratkan silaturahim antara kita yang berbilang budaya, agama dan bangsa. Khusus buat belia, kekalkan perpaduan ini untuk generasi mendatang.

Hans Isaac

Bagi pihak pasukan kerja teater Supermokh Sebuah Muzikal, salam kemerdekaan daripada saya buat warga Malaysia. Harapnya kita akan terus berusaha untuk membantu memajukan negara tersayang tanpa kata-kata serta perbuatan negatif. Saya sayang Malaysia dan akan terus melakukan yang terbaik buat diri sendiri serta negara. Salam 1Malaysia.

Zain Saidin

Sebagai anak Malaysia saya cukup bangga dengan apa yang negara kita capai termasuk usaha gigih kepimpinan negara dalam memartabatkan Malaysia. Jangan lupa jasa mereka yang banyak bersusah payah memberi kita keamanan dan kesenangan. Selamat Hari Merdeka.

Izara Aishah

Selamat Hari Merdeka! Saya berdoa semoga negara kita kekal aman sentiasa. Salam sayang daripada saya.

Sherry Alhadad

Marilah kita bersatu supaya negara kita terus aman dan maju. Di sini lahirnya sebuah cinta. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Siti Sarah

Kesederhanaan kali ini tak bererti kita tidak beriya-iya mahu meraikan kejayaan negara yang terus mencapai kemerdekaan. Terapkan sayang kepada Malaysia dalam diri dan jangan sampai ia hilang daripada pandangan mata kita. Semoga negara dan rakyat Malaysia akan terus kuat berdepan dengan dugaan mendatang. Amin

Nad Zainal

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan. Pertahankan apa yang sudah ada, baiki kekurangan yang terlihat.

Soo Wincci

Malaysia tapak lahir permulaan hidup saya. Tahun ini saya tak dapat meraikannya di negara tercinta kerana sedang berkongsi bakat di luar negara. Selagi saya tak dapat mengangkat nama Malaysia di mata dunia, selagi itu saya akan terus berusaha dalam memartabatkan nama negara kita. Ini antara sedikit perjuangan yang saya mahu lakukan di arena seni. Selamat Hari Merdeka.

Rita Rudaini

Saya bangga menjadi rakyat dan anak Malaysia. Saya bertuah hidup di Malaysia yang aman. Moga negara kini akan sentiasa dilindungi Tuhan daripada bencana. Selamat Hari Merdeka buat semua rakyat Malaysia.

Tasha Shilla

Selamat Hari Merdeka. Semoga negara kita akan kekal aman dan sejahtera. Kita terus bersatu padu dan teguh untuk kerakyatan kita bersama.

Zarul Husin

Walau ditimpa dengan pelbagai dugaan sejak akhir akhir ini diharap kita akan terus tabah dan bersatu dalam apa jua keadaan sekalipun. Sama-sama kita hargai erti sebuah kemerdekaan. Selamat Hari Merdeka.

Sariyanti

Semoga hari bermakna pada kali ini dapat merdekakan jiwa kita. Supaya kita dapat bersatu padu dan terus lahirkan rasa cinta untuk Malaysia. Selamat Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-57. Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.

Ayie Ali

Apalah erti kemerdekaan jika tiada keamanan. Apalah erti keamanan jika tiada semangat bersatu padu. Apalah erti bersatu padu jika tiada keharmonian. Kekal semangat perpaduan tanpa sebarang persengketaan dalam kehidupan aman dan damai. Kekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbeza serta menjadi teladan di mata dunia. Selamat Hari Kebangsaan Malaysia. Saya cinta KAMU.

Fiza Sabjahan

Selamat Hari Kemerdekaan yang ke-57. Di sini lahirnya cinta. Semoga kita lebih menghargai dan menghayati erti sebenar kemerdekaan. Semoga rasa cinta dan kasih pada tanah air akan terus dipupuk.

Daphne Iking

Syukur Alhamdulillah negara kita sudah merdeka 57 tahun. Mari kita bersama-sama berjuang untuk mengeratkan lagi sikap perpaduan sesama kita. We can agree to be disagree dan itulah keindahan kepelbagaian kaum di negara kita sekali gus menjadi simbolik kepada belas kasihan, kebaikan dan kesederhanaan. Saya cinta Malaysia. Selamat Hari Merdeka.

Liyana Jasmay

Malaysiaku, selamat menyambut kemerdekaan yang ke-57. Semoga dengan kemerdekaan ini akan menyatukan kita dengan lebih erat bagi semua bangsa dan agama, supaya kita sebagai rakyat akan terus merdeka dengan jiwa yang kental dalam menghadapi segala cabaran mendatang. Salam sayang buat semua rakyat Malaysia.

Adibah Noor

Sedangkan jari jemari kita berbeza-besa tapi saling memerlukan. Namun kalau hilang satu sekalipun, maka pincanglah kehidupan. Raikan perbezaan di antara kita. Malaysia tiada selainnya, kau tetap ku cinta Malaysia.

Nurul Wahab

Selamat Hari Kemerdekaan buat rakyat Malaysia. Teruskan keharmonian dan jangan berbalah. Untuk generasi muda belajarlah dari generasi tua, belajarlah untuk tertib. Teruskan bersatu padu tak kira apa kaum. Malaysia terus dipandang dunia dan kita harus mempertahankan kemerdekaan ini selama-lamanya.

Anzalna

Selamat Hari Kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga kemakmuran dan keharmonian akan berkekalan. Amin.

Hisyam Hamid

Sebagai rakyat negara jiran yang mencari rezeki di sini, saya tumpang gembira dengan apa yang dikecapi Malaysia. Selamat Hari Merdeka. Semoga Malaysia terus aman dan makmur. Di sebalik sambutan ini, janganlah kita lupa kepada semua mangsa dan ahli keluarga yang terbabit dalam insiden MH370 dan MH17. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan kepada ahli keluarga mangsa harap tabah dan kuat dalam menghadapi dugaan ini.

Berita Harian X