Sabtu, 7 Februari 2015 | 12:00pm

Arsenal, Liverpool 'cetus perang' pasukan tetangga

KANCAH bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) kini memasuki fasa yang genting dengan baki 15 perlawanan. Minggu ini bakal menyaksikan dua perlawanan menarik antara pasukan tetangga.

Tottenham Hotspur akan menerima kunjungan Arsenal ke White Hart Lane manakala Merseyside derby di Goodison Park menyaksikan Everton bakal menerima kunjungan Liverpool.

Kita ke Merseyside Derby terlebih dahulu di mana pasukan Liverpool yang sedang kian bangkit dengan percaturan yang lebih tepat oleh Brendan Rodgers.

Dia meletakkan anak buahnya di posisi yang tepat dengan keyakinan untuk menyimpan bola lebih lama dan mempunyai kebolehan individu yang tinggi seperti Phillipe Coutinho dan Raheem Sterling menjadi punca kebangkitan The Kops.

Sudah tentu kepulangan Daniel Sturridge dari kecederaan yang tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol memberi senyuman lebar dan harapan kepada penyokong penyokong tegar Anfield untuk mencabar kedudukan empat teratas liga.

Roberto Martinez mengharapkan kelebihan bermain di laman sendiri dan motivasi derby memberi impak yang positif kepada pemainnya untuk berada pada prestasi luar biasa untuk memberikan apa segala yang boleh bagi mendapatkan tiga mata. Saya menjangkakan keputusan seri 2-2.

Seterusnya kita ke North London Derby.

Pada firasat saya Tottenham memiliki kualiti skuad terutamanya di kesebelasan utama untuk menyaingi The Gunners tetapi masalah konsisten sentiasa menghantui mereka.

Tottenham memiliki serangan yang cukup bisa dengan Harry Kane, Nacer Chadli dan Christian Eriksen tetapi persoalannya adakah bahagian pertahanan Spurs cukup bagus untuk menandingi Alexis Sanchez, Olivier Giroud, Santi Cazorla, Theo Walcott, Mesut Ozil dan baki pemain serangan pasukan Arsene Wenger yang sedang berada pada prestasi kemuncak?

Saya melihat permainan terbuka tertulis di atas perlawanan ini tetapi Arsenal dengan kelebihan untuk mendapatkan tiga mata.

RAMALAN STANLEY MINGGU INI

Tottenham ............2 Arsenal...............4

Man City ................3 Hull City ............0

Swansea .................2 Sunderland ........1

Leicester .................1 C Palace ..............2

A Villa .....................0 Chelsea.............. 2

QPR ..........................1 Southampton.... 2

Everton.................... 2 Liverpool ............2

Burnley .....................1 West Brom ..........1

Newcastle................. 2 Stoke ...................2

West Ham ................1 Man United............ 2

(NOTA: Penulis tamu BH Online adalah bekas pemain kebangsaan, termasuk beraksi dalam dua perlawanan menentang Manchester United.

Selain beraksi untuk Kuala Lumpur dalam Liga Malaysia, Stanley juga beraksi dalam liga di India dan Indonesia. Ketika ini dia adalah pengulas bola sepak di stesen televisyen ASTRO Supersports dan Arena)

Berita Harian X