Selasa, 3 Februari 2015 | 1:00pm

Polis buka kertas siasatan individu guna perkataan kesat, lucah terhadap Tunku Azizah

Setiausaha Badan Kebajikan Kerabat-kerabat Negeri Pahang, Datuk Seri Tengku Zulkifly Tengku Ahmad (depan, tiga dari kiri), mengetuai tujuh badan bukan kerajaan (NGO) Pahang yang membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di Kuantan, semalam. Laporan polis itu berhubung status berbaur kasar dan lucah oleh individu di laman facebook yang ditujukan kepada Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Mainumah Iskandariah, selain pemasangan kain rentang gergasi oleh penyokong Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan Piala Sumbangsih antara Pahang dan JDT. - Foto BERNAMA

KUANTAN: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung tindakan seorang pengguna laman sosial Facebook yang menulis komen menggunakan perkataan kesat dan lucah terhadap Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan niat sengaja mengaibkan bagi memecahbelahkan keamanan.

"Kita minta individu terbabit tampil untuk membantu siasatan," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Semalam, tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk wakil Istana Abdul Aziz membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pengguna laman sosial Facebook yang menulis komen menggunakan perkataan kesat dan lucah terhadap Tunku Azizah.

NGO itu adalah Badan Kebajikan Kerabat-kerabat Negeri Pahang, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GMPS), Persatuan Seni Silat Kuntau Tek Pi Malaysia Cawangan Pahang, Majlis Belia Daerah Kuantan, Persatuan Jurufoto Negeri Pahang dan Kelab Bell Belia Tamil Negeri Pahang.

Laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini itu dibuat terhadap individu yang menggunakan nama akaun Facebook Kagawa Onieshia kerana didakwa menjatuhkan nama baik, imej dan maruah Tunku Azizah serta institusi diraja Pahang.

Kagawa Onieshia menulis komen itu sebagai respons kepada nasihat yang dikatakan dikeluarkan Tunku Azizah terhadap tindakan biadab segelintir penyokong bola sepak memaparkan kain rentang gergasi dengan imej anjing memakai baju berlogo Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada perlawanan akhir Piala Sultan Ahmad Shah di Johor Bahru, Sabtu lalu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X