Selasa, 3 Februari 2015 | 12:55pm

Sambutan Thaipusam lambang sikap keterbukaan rakyat Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir meluangkan masa bertemu masyarakat India pada sambutan Thaipusam di Batu Caves. - Foto Aizuddin Saad
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir meluangkan masa bertemu masyarakat India pada sambutan Thaipusam di Batu Caves. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Perayaan Thaipusam yang disambut penuh warna warni oleh puluhan ribu penganut Hindu di seluruh negara hari ini, membuktikan nilai keharmonian beragama masyarakat Malaysia sentiasa terjamin.

Malah, perayaan tradisi tahunan itu bukan saja dizahirkan sebagai sebahagian keunikan budaya di Malaysia, lebih manis lagi ia bukti melambangkan sikap keterbukaan rakyat negara ini dalam menerima kepelbagaian budaya dan adat resam.

Seawal jam 6 pagi lagi, rakyat pelbagai kaum termasuk pelancong asing sudah mula membanjiri sekitar pekarangan Batu Caves di sini, yang menjadi lokasi tradisi sambutan itu bagi sama-sama menyaksikan keunikan ritual agama Hindu.

Dengan kehadiran seramai itu, sambutan Thaipusam bukan saja dianggap sekadar upacara keagamaan tetapi menjadi platform utama tarikan negara ini yang tercatat dalam kalendar pelancongan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor ketika membuat kunjungan mesra bertemu masyarakat India pada sambutan Thaipusam di Batu Caves. Turut kelihatan Presiden Malaysian Indian Congress (MIC), Datuk Seri G. Palanivel (tiga dari kiri), Naib Presiden MIC II, Datuk M Saravanan (dua dari kanan) dan Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam, Tan Sri R.Nadarajah (empat dari kiri). - Foto Asyraf Hamzah
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor ketika membuat kunjungan mesra bertemu masyarakat India pada sambutan Thaipusam di Batu Caves. Turut kelihatan Presiden Malaysian Indian Congress (MIC), Datuk Seri G. Palanivel (tiga dari kiri), Naib Presiden MIC II, Datuk M Saravanan (dua dari kanan) dan Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam, Tan Sri R.Nadarajah (empat dari kiri). - Foto Asyraf Hamzah

Kehadiran Datuk Seri Najib Razak yang tiba pada jam 10.20 pagi tadi nyata memeriahkan lagi suasana sambutan dengan orang ramai mula berpusu-pusu masuk ke kawasan gerai, bertemu dan bersalaman dengan pemimpin nombor satu negara itu.

Ketibaan Perdana Menteri dengan berpakaian tradisi masyarakat India 'kurta' berwarna krim disambut Pengerusi Kuil Dhevadthanam Sri Maha Mariamman, Tan Sri R Nadarajah serta barisan kepemimpinan MIC.

Antaranya, Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel; Naibnya, Datuk M Saravanan serta Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S Samy Vellu.

Najib yang meluangkan masa kira-kira sejam setengah di kawasan sambutan kemudian dibawa melawat beberapa gerai jualan serta beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga.

Seterusnya, beliau menuju ke tingkat atas bangunan Kuil Sri Subramaniar Swamy dan kemudian melambai ke arah puluhan ribu pengunjung yang membanjiri pekarangan kuil itu.

Kemeriahan sambutan perayaan Thaipusam mula dirasai sejak malam kelmarin apabila ribuan penganut Hindu mengikuti perarakan berhala membawa Dewa Murugan dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun HS Lee di sini ke Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves.

Perarakan arca di atas pedati perak sejauh 13 kilometer mula bergerak pada jam 10 malam kelmarin dengan diiringi lebih 10,000 penganut pelbagai peringkat umur dan tiba di pekarangan kuil di Batu Caves lewat petang semalam.

Thaipusam adalah perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia semasa bulan penuh Tamil yang dipanggai 'Thai' bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan iaitu anak bongsu lelaki Dewa Shiva dan Dewi Parvati.

Ia juga bagi memperingati peristiwa di mana Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya bagi menghapuskan kuasa jahat bernama Soorapadman serta mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan manusia.

Acara kemuncak perayaan itu ialah apabila perarakan arca Dewa Murugan dan dua isterinya Dewi Valli dan Devi Theivanai di atas pedati perak itu kembali ke Kuil Sri Maha Mariamman kira-kira pukul 4 petang, Rabu ini.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pameran foto sempena 125 tahun pembangunan Batu Caves sejak tahun 1891 di pejabat kuil Batu Caves sehingga 8 Februari ini.

Berita Harian X