Selasa, 3 Februari 2015 | 10:40am

Najib buat lawatan, kunjungan mesra di Batu Caves

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Batu Caves, di sini sebentar tadi bagi meluangkan masa membuat kunjungan mesra bertemu masyarakat Hindu yang menyambut perayaan Thaipusam hari ini. - Foto NSTP
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Batu Caves, di sini sebentar tadi bagi meluangkan masa membuat kunjungan mesra bertemu masyarakat Hindu yang menyambut perayaan Thaipusam hari ini. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak pagi ini mengadakan lawatan dan kunjungan mesranya ke Batu Caves, di sini sempena perayaan Thaipusam yang disambut di seluruh negara hari ini.

Ketibaan Perdana Menteri pada jam 10.20 pagi itu adalah bagi merasai sendiri kemeriahan suasana sambutan perayaan tradisi masyarakat Hindu itu.

Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba dengan berpakaian tradisi masyarakat India 'kurta' berwarna krim, disambut Pengerusi Kuil Dhevadthanam Sri Maha Mariamman, Tan Sri R Nadarajah serta barisan kepemimpinan MIC antaranya Naib Presiden MIC, Datuk S Saravanan.

Kehadiran beliau juga nyata memeriahkan lagi suasana sambutan dengan orang ramai tidak melepaskan peluang merakam gambar dan bersalaman dengan pemimpin nombor satu negara itu.

Sejak menjadi Perdana Menteri pada 2009, sudah lebih tiga kali Najib berkunjung ke Batu Caves sempena perayaan Thaipusam dengan pertama kali dilakukannya adalah pada 2010.

Najib dalam perutusan khas sempena Thaipusam seperti disiarkan dalam blognya najibrazak.com semalam mengulangi komitmen kerajaan untuk terus membantu dan bekerjasama dengan masyarakat India berdasarkan 'nambikei' (kepercayaan) ke arah mengatasi pelbagai cabaran dihadapi masyarakat itu.

"Ketika rakan-rakan Hindu kita menyambut hari berkenaan dengan melakukan ibadat dan menyatakan kesyukuran di kuil-kuil di seluruh negara, marilah kita bersatu bagi menunjukkan rasa hormat terhadap perayaan agama masing-masing," kata.

Najib berkata, ketika penganut Hindu Malaysia menyambut perayaan Thaipusam, kita sekali lagi diingatkan tentang budaya kita yang kaya dan pelbagai.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita sesungguhnya bertuah kerana rakyat dari berbilang kepercayaan dan keturunan hidup dalam aman dan harmoni," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan sama berharap semua penganut agama Hindu di negara ini berusaha mempereratkan lagi hubungan antara kaum, menguatkan semangat perpaduan dan cintakan negara, di samping menyumbang terhadap pembangunan dan kesejahteraan negara.

Muhyiddin berkata, Malaysia juga bernasib baik kerana majoriti rakyat masih bersikap rasional walaupun ada pihak menggerakkan usaha menghancurkan perpaduan dan menimbulkan kekecohan dalam negara menerusi sikap keterlaluan dan perbalahan antara kaum.

"Kita juga bersyukur kerana rakyat menyokong usaha kerajaan untuk mengekalkan keamanan dalam negara menerusi tindakan undang-undang yang sedia ada," katanya.

Berita Harian X