Isnin, 2 Februari 2015 | 1:26pm

Samun: Pemandu lori maut, 8 terselamat diikat, dikurung dalam kontena

BATU GAJAH: Seorang pemandu lori maut selepas diikat dan dikurung dalam kontena bersama lapan mangsa lain dalam kejadian samun sebuah kilang di Taman Perindustrian Bemban, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai V Arunasalam, 62, ditemui meninggal dunia selepas dikurung bersama lapan mangsa lain dalam sebuah kontena oleh sekumpulan 15 lelaki bersenjatakan parang.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif, berkata sehingga kini polis sedang mengenal pasti punca kematian mangsa.

"Sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu, sepasukan polis ke lokasi untuk menjalankan siasatan dan mendapati dua pengawal keselamatan bersama tujuh pekerja kilang berkenaan dikurung dalam sebuah kontena.

"Suspek dipercayai lebih kurang 15 orang bersenjatakan parang menyamun kilang.

"Kumpulan penjenayah terbabit kemudian mengikat dan mengurung dua pengawal keselamatan dan tujuh pekerja dalam sebuah kontena di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, tiada mangsa lain yang cedera dan kesemua suspek dipercayai melarikan diri dengan sebuah lori.

Berita Harian X