Jumaat, 29 Ogos 2014 | 4:07am

Institusi Raja adalah lambang kedaulatan negara

Kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mempertahankan institusi Raja di negara ini adalah satu kenyataan yang wajar.

Kenyataan itu dibuat berikutan wujudnya penghinaan terhadap institusi Raja yang semakin berleluasa kini. Kenyataan itu juga bertepatan dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai tampuk tertinggi ATM seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 41).

Kesetiaan anggota ATM terhadap Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja kerana kedudukan baginda sebagai Ketua Negara tetapi juga sebagai Ketua Angkatan Tentera yang menuntut anggota tentera mempertahankan maruah dan kehormatan baginda.

Ketika sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, baginda akan berangkat ke istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong untuk istiadat sembah ikrar taat setia ATM kepada Seri Paduka selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera. Dalam istiadat itu baginda akan menerima tabik hormat pasukan kawalan kehormatan yang dianggotai pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM. Justeru, apabila penghinaan terhadap institusi Raja semakin berleluasa maka wajar ATM mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Menghina institusi Raja juga secara tidak langsung menghina bangsa Melayu dan kedudukan agama Islam kerana Yang di-Pertuan Agong (termasuk Raja-Raja Melayu) bertanggungjawab menjaga hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, dalam setiap negeri yang mempunyai Raja, perlembagaan negeri terbabit menetapkan baginda sebagai Ketua Agama Islam.

Ketua agama

Untuk negeri yang tidak mempunyai Raja, iaitu Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, perlembagaan negeri masing-masing membuat peruntukan bagi memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di negeri itu. Yang di-Pertuan Agong juga menjadi Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Justeru, dalam kes penghinaan terhadap institusi Raja oleh mana-mana individu atau kumpulan adalah satu kesalahan yang sepatutnya dikenakan hukuman setimpal. Kebiadaban mereka itu wajar dikenakan hukuman berat kerana apa yang mereka lakukan boleh dikategorikan sebagai kesalahan serius.

Perbuatan menghina institusi Raja juga boleh mencetus kemarahan orang Melayu kerana ia berkaitan dengan maruah bangsa Melayu itu. Tindakan yang tidak bertanggungjawab itu menjejaskan imej kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Memperlekeh dan mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu itu tidak wajar dikatakan sebagai satu kebebasan bersuara kerana apa-apa peruntukan yang dimaktubkan dalam perlembagaan berkaitan peranan institusi Raja adalah sesuatu yang menepati kedudukan raja-raja yang mempunyai kedaulatan sendiri.

Justeru, penulis setuju dengan cadangan yang dibuat oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah yang mencadangkan akta derhaka digubal bagi membendung penghinaan terhadap institusi Raja. Dengan akta khusus seperti itu maka akan memudahkan pendakwaan dibuat ke atas mana-mana pihak yang bersikap biadab terhadap kedudukan serta kedaulatan institusi Raja di negara ini.

Setakat ini akta yang sesuai diguna pakai dalam kesalahan menghina dan memperlekeh Raja-Raja, sama ada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Raja ialah Akta Hasutan.

Akta terbabit bertujuan mengekang perbuatan berkaitan kecenderungan menghasut yang membabitkan Raja-Raja Melayu, kerajaan (sama ada negeri atau Persekutuan), hubungan antara rakyat negeri-negeri dalam Persekutuan, hubungan antara kaum serta hal berkaitan kewarganegaraan, bahasa Melayu, keistimewaan Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Mengikut Prof Madya Shamrahayu A Aziz, kecenderungan menghasut sehingga membenci, menghina atau membangkitkan perasaan tidak setia kepada Raja atau kerajaan adalah asalnya kesalahan di bawah Kanun Keseksaan tetapi dimasukkan dalam Enakmen Hasutan. Satu lagi kesalahan yang dimasukkan dalam akta itu ialah perbuatan mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau penduduk Malaysia.

Kesimpulannya, Raja-Raja Melayu memiliki kedudukan dan kedaulatan tersendiri di negara ini. Justeru, imej dan kedudukan institusi Raja perlu dijaga kerana ia lambang kedaulatan negara.

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia.

Berita Harian X