Khamis, 22 Januari 2015 | 9:27pm

28 peserta sertai Cabaran Muay Thai di Perlis

KANGAR: Sejumlah 28 peserta, termasuk 10 dari luar negara akan berentap merebut tiga tali pinggang pada 'Cabaran Antarabangsa Muay Thai Kola 2015' di Ocean Glow Brasmana Hotel, Kuala Perlis, malam esok.

Cabaran kali keempat itu, anjuran Kelab Muay Thai Kola (Kuala Perlis), menampilkan peserta terbaik yang pernah memenangi gelaran dan pemegang tali pinggang sahaja bagi kelas-kelas tertentu.

Menurut setiausaha penganjur, Saiful Mohamad, sebanyak tujuh perlawanan diadakan malam esok dan tujuh lagi perlawanan pada malam kedua bermula pukul 8 hingga 12 malam.

Beliau memberitahu peminat dikenakan bayaran masuk RM15 tetapi hanya perlu membayar RM20 jika membeli tiket untuk dua malam berturut-turut.

"Pertandingan ini tidak menawarkan hadiah wang tunai namun penonton dijanjikan perlawanan bertaraf antarabangsa terutama oleh enam peserta Thailand dan empat peserta negara asing yang berlatih di Phuket, Thailand," kata Saiful. K

Katanya tali pinggang yang menjadi rebutan disumbangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, Ahli Parlimen Kangar, Ir Shah ruddin Ismail dan Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Kangar. - BERNAMA

Berita Harian X