Rabu, 12 Julai 2017 | 7:16am

Remaja maut guna telefon bimbit di bilik mandi

AUSTIN: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun maut dipercayai akibat kejutan elektrik selepas memegang telefon bimbit miliknya yang sedang dicaj ketika mandi.

"Madison Coe yang berasal dari Lubbock, di sini, disahkan meninggal dunia di kediaman bapanya di New Mexico, baru-baru ini ketika sedang mandi," lapor akhbar Hobbs News-Sun yang memetik pegawai bantuan kecemasan.

Jurucakap polis di Lovington, New Mexico berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa mati akibat kejutan elektrik, selepas pihaknya menemui telefon bimbit, kabel pengecas dan kabel sambungan di dalam bilik mandi.

Sementara itu, nenek Coe, Donna O'Guinn ketika ditemubual stesen televisyen di Lubbock, KCBD berkata, cucunya mempunyai kesan terbakar pada tangan yang memegang telefon.

Kejadian itu mendorong ahli keluarga Coe untuk menyebarkan punca insiden itu berlaku, untuk mengelak kematian akibat kejutan elektrik berulang lagi.

"Ini adalah satu tragedi dan ia tidak seharusnya berlaku kepada orang lain.

"Kami mahu peristiwa ini menjadi satu pengajaran dan meningkat kesedaran supaya tidak menggunakan telefon bimbit ketika berada di dalam bilik mandi, terutama semasa ia sedang dicaj.

"Beliau (Coe) seorang yang baik dan disayangi oleh semua orang," kata O'Guinn kepada KCBD.

Bagaimanapun, O'Guinn tidak menjawab panggilan telefon yang dibuat wartawan Reuters.

Ibu Coe, Angela O'Guinn Downs pula memuatnaik mesej di Facebook miliknya beserta gambar anaknya dengan pesanan: "Tolong, tolonglah supaya suaranya didengari dan lindungi serta didik anak anda mengenai bahaya kejutan elektrik". - Reuters

Berita Harian X