Isnin, 10 Julai 2017 | 5:04pm

Nilai output kasar naik kepada RM1.14 trilion

KUALA LUMPUR: Nilai output kasar sektor pembuatan meningkat kepada RM1.14 trilion pada 2015 berbanding RM836.5 bilion pada 2010, dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 6.4 peratus setahun.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan nilai output kasar mencecah RM1.1 trilion itu adalah pertama kali dicapai sepanjang Banci Ekonomi dijalankan.

Katanya, subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal adalah menyumbang terbesar dengan nilai output kasar sebanyak RM322 bilion (28.2 peratus).

Penyumbang kedua terbesar adalah subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik yang menyumbang RM299.1 bilion (26.2 peratus), diikuti subsektor minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan dan prosesan makanan sebanyak RM199.8 bilion (17.5 peratus).

Menurut jabatan itu, selaras dengan pertumbuhan pesat nilai output kasar, nilai input perantaraan turut meningkat RM219 bilion kepada RM884.8 bilion atau CAGR sebanyak 5.9 peratus.

"Ini menghasilkan nilai ditambah sebanyak RM257.1 bilion pada 2015. Dalam tempoh sama, bilangan pertubuhan mencatatkan peningkatan 9,432 atau CAGR sebanyak 4.4 peratus dan bilangan pekerja di sektor berkenaan juga melaporkan peningkatan 3.2 peratus dalam CAGR dengan 2,119,158 orang berbanding 1,812,360 orang pada 2010," katanya.

Sementara itu, Jabatan Perangkaan menambah, jumlah gaji dan upah yang dibayar pada 2015 adalah RM65.5 bilion berbanding RM43.7 bilion pada 2010.

Katanya, pada 2015, pertubuhan milikan wanita dalam sektor pembuatan berjumlah 9,546 pertubuhan dan menyumbang 19.4 peratus kepada keseluruhan bilangan pertubuhan dalam sektor berkenaan.

Bagi pertubuhan milikan wanita, nilai output kasar dan nilai ditambah yang direkodkan masing-masing adalah RM16.7 bilion dan RM4.2 bilion.

Bilangan pekerjanya pula sebanyak 86,051 orang dengan bayaran gaji dan upah berjumlah RM2.1 bilion, kata jabatan itu. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X