Sabtu, 8 Julai 2017 | 10:05am

Atlet 200m Jamaica positif doping

 PANEL Disiplin Anti Doping Jamaica mendedahkan pemenang pingat gangsa 200 meter (m) Sukan Komanwel, Jason Livermore, positif bahan terlarang
PANEL Disiplin Anti Doping Jamaica mendedahkan pemenang pingat gangsa 200 meter (m) Sukan Komanwel, Jason Livermore, positif bahan terlarang

KINGSTON (JAMAICA): Panel Disiplin Anti Doping Jamaica mendedahkan pemenang pingat gangsa 200 meter (m) Sukan Komanwel, Jason Livermore, positif bahan terlarang, Disember lalu.

Kent Gammon yang mengetuai panel bebas diwakili tiga penilai berkata, atlet berusia 29 tahun itu didapati positif dalam satu ujian di luar pertandingan, 16 Disember lalu.

Livermore, yang berdepan penggantungan empat tahun, bagaimanapun enggan membuat sebarang komen mengenai kenyataan Gammon ketika dihubungi Reuters.

Gammon tidak mendedahkan jenis bahan terlarang yang diambil, namun berkata, Livermore sudah melanggar Artikel 2.1 Peraturan Suruhanjaya Anti-Doping Jamaica (JADCO), iaitu kehadiran bahan larangan atau metabolite atau tanda dalam sampel seorang atlet.

Livermore, yang juga pemenang pingat emas dalam acara 4x100m bersama Usain Bolt, Kemar Bailey-Cole dan Nickel Ashmeade di Sukan Komanwel 2014, menghadiri perbicaraan di hadapan panel disiplin di Pusat Persidangan Jamaica, semalam.

Dia akan diberikan peluang untuk membela diri pada sesi perbicaraan penuh pada 11 September ini, yang dijadual turut dihadiri JADCO dan wakilnya.

Sumber rapat kes memberitahu Reuter, Livermore tidak memohon sampel "B" dilakukan.

Livermore juga enggan memberi komen ketika diajukan soalan mengenai ujian kedua ketika ditanya Reuters.

Livermore, yang mara ke separuh akhir 200m di kejohanan dunia di Moscow 2012, tidak beraksi pada sesi ujian pelari senior Jamaica bulan lalu dan tidak akan menyertai pasukan kebangsaan di kejohanan dunia di London, bulan depan.

Livermore, yang mempunyai catatan peribadi terbaik 10.03 saat (s) dalam acara 100m dan 20.13s bagi acara 200m, juga pernah menghadiahkan pingat emas dalam acara 4x200m di temasya World Relays 2015.

- REUTERS

Berita Harian X