Khamis, 6 Julai 2017 | 7:30pm

Media Prima umum pelantikan Ismee ganti FD Iskandar


TAN Sri Ismee Ismail.- Foto Khairull Azry Bidin

KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad (Media Prima) hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Ismee Ismail, sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan Media Prima berkuat kuasa 1 Ogos ini, susulan peletakan jawatan penyandang, Datuk Seri FD Iskandar berkuat kuasa akhir bulan ini.

Ismee, 52, seorang tokoh perniagaan yang berpengalaman luas dalam sektor perniagaan dan kewangan dilantik menjadi ahli Lembaga Pengarah Media Prima pada 1 Jun lalu.

Beliau sebelum ini adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) bermula 2006 hingga 2016.

Ismee kini masih Timbalan Pengerusi Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas di TH Plantations Berhad.

Media Prima dalam kenyataan berkata, Ismee memulakan kerjaya sebagai Akauntan Pengurusan di Arab Malaysian Development Berhad dan kemudiannya berkhidmat dalam beberapa jawatan kepemimpinan utama dengan kumpulan syarikat Shell di Malaysia termasuk sebagai Ketua Forex dan Perbankan di Shell Malaysia Ltd dan Akauntan Kumpulan di Shell Malaysia Trading Sdn Bhd.

Ismee juga terbabit dalam penubuhan Pengurusan Danaharta Nasional Berhad dan berkhidmat sebagai Ketua Akauntan/Bendahari sebelum menyertai Medical Online (M) Sdn Bhd sebagai Naib Presiden Kanan.

Beliau juga berkhidmat di beberapa syarikat swasta yang terbabit dalam industri hartanah dan hospitaliti, selain pernah pernah berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah di institusi perniagaan utama di negara ini termasuk sebagai Pengerusi Syarikat Takaful Malaysia (2009-2015), Pengerusi TV Al Hijrah dan ahli Lembaga Pengarah di Johor Corporation, KFC Holdings Malaysia Bhd, 1Malaysia Development Berhad, BIMB Holdings Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad , Pelikan International Corporation Berhad, FELDA Global Ventures Berhad dan beberapa syarikat swasta yang lain.

"Ismee memperoleh kelayakan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) dari London School of Accountancy dan kini adalah ahli sekutu (Fellow).

"Lembaga Pengarah Media Prima mengalu-alukan pelantikan Ismee dan yakin di bawah kepemimpinan beliau, Media Prima akan meneruskan rekod prestasi yang kukuh dalam menyampaikan nilai kepada pemegang saham," katanya.

Menurut kenyataan itu, pengumuman peletakan jawatan dibuat susulan keputusan FD Iskandar untuk menarik diri supaya dapat memberi fokus terhadap tanggungjawab perniagaan dan persatuan lain.


Datuk Seri FD Iskandar.- Foto NSTP

Lembaga Pengarah Media Prima merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kepemimpinan, dedikasi dan sumbangan beliau terhadap Kumpulan di mana beliau juga berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Risiko Kumpulan serta Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran.

FD Iskandar juga pernah menganggotai Lembaga Pengarah New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP) dari 2009 sehingga 2015.

"Ketika menjadi ahli Lembaga Pengarah NSTP, FD Iskandar memainkan peranan penting sebagai penasihat kepada pengurusan mengenai inisiatif pemulihan perniagaan syarikat yang membawa kepada penambahbaikan prestasi.

"Di Media Prima pula, FD Iskandar memainkan peranan penting dalam membimbing usaha transformasi Kumpulan termasuk inisiatif menjana sumber pendapatan baharu seperti pelancaran perniagaan membeli-belah di rumah Media Prima dan inisiatif digital utama yang lain.

"Beliau juga memainkan peranan penting dalam pemerolehan REV Asia Holdings Sdn Bhd dan Copyright Laureate Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Kool FM Radio Sdn Bhd)," katanya.

Kenyataan itu turut menyebut, sepanjang tempoh perkhidmatan FD Iskandar, Kumpulan juga diberi pelbagai pengiktirafan di atas komitmen yang kukuh dalam Tadbir Urus Korporat termasuk sebagai Syarikat Tadbir Urus Terbaik 2016 (Permodalan Kecil) di 13 pasaran Asia oleh Asiamoney.

Anugerah lain termasuk Tadbir Urus Korporat Terbaik (Syarikat Media) di Asia oleh Etika 'Boardroom' UK dan Media Tahunan Komanwel oleh Rangkaian Perniagaan Wanita Komanwel pada 2015.

Mengulas keputusannya untuk meletak jawatan, FD Iskandar berkata peluang berkhidmat di Media Prima dan anak syarikat adalah satu penghormatan buatnya.

Bagaimanapun beliau yakin, inilah masa yang tepat untuk memberi peluang kepada pengarah generasi baharu untuk membentuk dan memacu Kumpulan ke hadapan terutama pada masa kini.

"Kumpulan berjaya mencapai pertumbuhan besar ketika kestabilan ekonomi dan Kumpulan juga kekal berdaya tahan dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi.

"Memandangkan cabaran semasa, Media Prima sedang mengambil langkah transformasi progresif untuk menjadi syarikat media digital-dahulu (digital-first) yang sejajar dengan citarasa pengguna hari ini.

"Saya yakin Kumpulan akan mencapai sasarannya. Saya doakan yang terbaik bagi pengganti saya, Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan Media Prima," katanya.

Berita Harian X