Isnin, 3 Julai 2017 | 6:23pm

PERDIM minta JPA, KKM kekal syarat sedia ada

DATUK Dr Ahmad Shukri Ismail. - Foto Shahrinnahar Latib

KUALA LUMPUR : Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM) tidak bersetuju keputusan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membenarkan graduan perubatan berkelayakan diberi kelonggaran syarat kelayakan Lulus Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan UD41.

Presidennya, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, berkata tidak perlu ada kelonggaran untuk menampung ketidakcukupan pegawai perubatan dalam kapasiti kecil kerana ia akan mengubah landskap pekerjaan.

Beliau berkata, isu lulus Bahasa Melayu yang hangat diperdebatkan ketika ini akan turut menjejaskan lambakan pegawai perubatan sedia ada dan mereka yang ingin bekerja secara kontrak sebagai tidak mementingkan kelulusan Bahasa Melayu untuk kerja di negara ini.

"PERDIM minta supaya Peraturan JPA kekal dan tidak perlu diubah kerana jika diubah nanti, kementerian lain juga akan mengikutinya.

"Sepatutnya Kementerian Kesihatan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bukannya bertindak sebaliknya.

"Syarat bekerja sebagai kakitangan kerajaan adalah kena lulus Bahasa Melayu. Siapa lagi akan memartabat Bahasa Melayu jika bukan kita sendiri?," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kelmarin yang memberi kelonggaran Lulus Bahasa Melayu bagi membolehkan graduan perubatan berkelayakan menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib selama dua tahun.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 23 Februari lalu memberi persetujuan untuk kelonggaran syarat kelayakan itu bagi pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 di Kementerian Kesihatan.

Berita Harian X