Ahad, 2 Julai 2017 | 8:34am

Lulus Bahasa Melayu boleh mohon pegawai perubatan kontrak

KUALA LUMPUR: Graduan perubatan berkelayakan akan diberi kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan UD41.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kelonggaran itu bagi membolehkan graduan berkenaan menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib selama dua tahun.

KETUA Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Faiz Anuar

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 23 Februari lalu memberi persetujuan untuk kelonggaran syarat kelayakan itu bagi pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 di Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun, katanya, calon yang memohon lantikan secara tetap sebagai Pegawai Perubatan di KKM perlulah lulus Bahasa Melayu di peringkat SPM, selaras Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

"Malahan terdapat beberapa skim perkhidmatan lain yang meletakkan syarat lebih tinggi iaitu kredit Bahasa Melayu sebagai syarat lantikan.

"Justeru, semua calon Pegawai Perubatan UD41 yang dilantik dengan kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu ketika lantikan kontrak perlulah memenuhi syarat lulus Bahasa Melayu di peringkat SPM bagi tujuan pelantikan tetap ke jawatan Pegawai Perubatan di KKM, " katanya dalam kenyataan.

Katanya, kementerian turut maklum ada calon persendirian mendaftar untuk peperiksaan SPM kali pertama dan mereka boleh memohon kelulusan daripada Pengarah Lembaga Peperiksaan untuk mengambil Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran tunggal sebagai memenuhi syarat perkhidmatan bagi lantikan ke perkhidmatan awam, tanpa perlu menduduki subjek SPM lain.

"KKM akan berbincang selanjutnya dengan Kementerian Pendidikan dan Lembaga Pendidikan untuk melicinkan proses ini bagi calon persendirian yang terbabit," katanya.

Berita Harian X