Isnin, 26 Jun 2017 | 7:20pm

Sasaran perdagangan RM1b Ekspo Astana 2017 tercapai

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Dr Tan Yew Chong (kanan) diberi penerangan oleh peserta pameran di Pavilion Malaysia, Astana Expo 2017 di Astana (Kazakhstan) hari ini. - Foto BERNAMA

ASTANA (KAZAKHSTAN): Hasil kejayaan memperoleh lebih AS$1.6 bilion dalam potensi perdagangan dan pelaburan, Malaysia sekali gus melepasi sasaran meraih RM1 bilion yang ditetapkan pada Ekspo Astana 2017, hanya dalam minggu pertama daripada tiga minggu acara berkenaan.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Dr Tan Yew Chong, berkata Malaysia mengguna pakai pendekatan berimpak tinggi dengan menggunakan teknologi canggih di Pavalion Malaysia di Ekspo di sini bagi meyakinkan pelabur berpotensi.

"Kami yakin dapat menarik lebih banyak pelaburan menjelang akhir ekspo tiga minggu ini yang bermula 10 Jun, " katanya.

Yew Chong bercakap pada sidang media sempena pelancaran pameran Minggu Inovasi Hijau di Pavilion Malaysia di Ekspo Astana di sini, hari ini.

Sebelum itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Syed Mohamad Bakri menyaksikan pertukaran empat memorandum persefahaman (MoU) bernilai AS$50.25 juta, dalam bidang teknologi hijau, antara Malaysia dan syarikat asing.

MoU itu membabitkan Nusantara Associates Ltd Liability Partnership (LLP) Kazakhstan dan Free The Seed Sdn Bhd bernilai AS$30 juta dan perjanjian AS$20 juta antara Nusantara dan Ronser Biotech Bhd.

"Dua perjanjian lain, dengan gabungan nilai AS$250,000 ialah antara iCycle Sdn Bhd dan wilayah Guangzhou Tianhe dan iCycle serta negeri Kerala India," kata Madius.

Beliau berkata, MoU itu membuktikan kepimpinan Malaysia dalam inovasi teknologi hijau.

"MoU juga mempromosikan impak sumber kitar semula yang adalah asas dan inovasi sosial di Malaysia, " katanya.

Madius mengetuai delegasi 26 perwakilan dari MOSTI, Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia, SIRIM Bhd, Yayasan Malaysia bagi Inovasi dan sektor swasta ke pameran Minggu Inovasi Hijau bermula hari ini.

Bertema Inovasi Hijau, Memperkasa Masa Depan Anda, ia memberi tumpuan kepada kemampanan sumber biologi boleh baharu dan peralihan kepada produk bernilai tambah dalam industri makanan, biokimia, tenaga dan kesejahteraan penjagaan kesihatan menerusi teknologi inovatif dan cekap.

BERNAMA

Berita Harian X