Sabtu, 24 Jun 2017 | 12:04am

Verstappen selamat terbabas sesi latihan di Baku

MAX Verstappen.- Foto AFP
MAX Verstappen.- Foto AFP

BAKU: Max Verstappen mempamerkan pemanduan cemerlang apabila mendahului sesi latihan kedua hari ini menjelang Grand Prix (GP) Azerbaijan, selepas melakukan perkara sama untuk Red Bull pada sesi pembukaan di sebelah pagi sebelum terbabas di minit terakhir.

Pemandu 19 tahun dari Belanda itu mencatat pusingan terpantas satu minit dan 43.362 saat (s) untuk mengatasi pemandu Finland Valtteri Bottas dari Mercedes dengan kelebihan 0.100s, namun menamatkan sesi latihan bebas dengan terbabas di selekoh pertama.

Rakan sepasukan Verstappen dari Australia, Daniel Ricciardo ketiga terpantas dalam sesi latihan kedua di hadapan Kimi Raikkonen dan rakan sepasukan Ferrari serta pendahulu kejuaraan, Sebastian Vettel.

Pemandu Kanada, Lance Stroll yang mengutip mata pertama Formula Satu untuk Williams di litar negaranya awal bulan ini, di tangga keenam mengatasi Sergio Perez dari Mexico, yang terbabas pada sesi pagi, disusuli Daniil Kvyat dari Toro Rosso, Esteban Ocon dari Force India dan juara tiga kali, Lewis Hamilton dari Mercedes.

Juara dua kali dari Sepanyol, Fernando Alonso juga tidak bernasib baik pada sebelah petang apabila terpaksa berhenti awal akibat masalah enjin selepas menampilkan pemanduan yang baik. - AFP

Berita Harian X