Jumaat, 23 Jun 2017 | 12:44pm
PELAKON, Sharifah Amani pada Tayangan perdana telefilem "Kembalikan Syawalku" di GSC The Garden. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PELAKON, Sharifah Amani pada Tayangan perdana telefilem "Kembalikan Syawalku" di GSC The Garden. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Amani gementar berlakon dengan ibu

KUALA LUMPUR: Pelakon, Sharifah Amani, gementar apabila diminta bergandingan bersama ibunya, Fatimah Abu Bakar, dalam telefilem Kembalikan Syawalku.

Naskhah arahan Pitt Hanif yang akan menemui penonton menerusi saluran Astro Citra dan Mustika HD pada 24 Jun, jam 9 malam itu juga menjadi projek lakonan pertama beliau bersama ibu sendiri sejak menceburi dunia lakonan, kira-kira 13 tahun lalu.

Kata Amani, beliau tidak mengetahui senarai pelakon lain ketika ditawarkan oleh syarikat penerbitan, Arie Zaharie Production, untuk terbabit sama dalam telefilem berkenaan.

"Sudah tentu saya berbangga dapat terbabit sama dalam telefilem ini yang turut membariskan beberapa nama besar dan dihormati.

"Ketika ditawarkan membintangi telefilem ini, saya tidak tahu ibu (Fatimah) juga berada dalam senarai pelakonnya. Saya hanya maklum mengenai perkara itu pada sesi latihan bacaan skrip," katanya yang ditemui pada pratonton telefilem itu, baru-baru ini.

Tambah Amani, pelakon ternama yang menjayakan drama terbabit seperti Fauziah Nawi, Sabri Yunus dan ibunya sendiri antara bakat yang cukup dihormati ramai.

"Mereka adalah insan seni yang mempunyai banyak ilmu lakonan dan pengalaman. Selain ibu, Kembalikan Syawalku juga menjadi lakonan pertama saya dengan ibu Fauziah dan Sabri, yang sememangnya saya kagumi lakonan masing-masing.

"Sebagai pelakon, saya tiada masalah untuk bergandingan dengan sesiapa saja, malah kita akan berbangga apabila dapat beraksi di sisi pelakon ternama seperti mereka. Namun jujurnya, saya cukup berdebar apabila tiba babak bergandingan dengan ibu.

"Entah mengapa, perasaannya cukup berbeza. Begitupun alhamdulillah, saya cuba untuk menjiwai watak jururawat, Amani, yang diberikan pengarah dengan sebaik mungkin," katanya.

Pelakon lain yang turut terbabit dalam naskhah sempena kedatangan Syawal itu termasuk Syafie Naswip, Lisdawati, Niezam Zaidi, Tash Yong dan Dr Raj.

Berita Harian X