Khamis, 22 Jun 2017 | 3:31pm

SME Bank untung RM67 juta tahun lalu

DATUK Mohd Radzif Mohd Yunus. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: SME Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM67 juta pada tahun 2016 berbanding RM48 juta pada tahun sebelumnya.

Peningkatan keuntungan itu adalah hasil sumbangan lebih tinggi daripada operasi perbankan dan pelaburan yang lebih baik, demikian menurut SME Bank dalam kenyataan mengumumkan prestasi kewangan 2016, hari ini.

Prestasi itu disokong pertumbuhan berterusan daripada pendapatan kasar perniagaan perbankan Islam SME Bank yang meningkat 15 peratus daripada RM292 juta kepada RM336 juta.

Pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan rosot bersih SME Bank adalah pada kadar 8.2 peratus, seiring peranannya sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang merangkumi mandat khususnya dalam sektor PKS.

Dalam pada itu, SME Bank mengukuhkan dan melepasi Dana Pemegang Saham susulan kejayaannya menebus kerugian terkumpul dengan mencatatkan keuntungan terkumpul RM109 juta, berbanding kerugian terkumpul RM607 juta pada tahun 2010.

Bank juga menerima kelulusan untuk menukar kemudahan pembiayaan berjumlah RM500 juta yang diberikan Kementerian Kewangan (MOF) kepada ekuiti yang menyumbang kepada pengukuhan modal berbayarnya kepada RM1.85 bilion daripada RM1.35 bilion pada 2016.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, berkata kehadiran SME Bank sebagai pemain utama dalam kalangan enam Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) di negara ini dilihat lebih kukuh dengan menguasai 38 peratus bahagian pasaran.

Katanya, dalam memenuhi peranan yang dimandatkan kerajaan, SME Bank berjaya mempertingkatkan perniagaan 1,085 pelanggan daripada 15,000 syarikat melalui aktiviti intervensi khusus yang bermula sejak enam tahun lalu.

"Selain itu, lebih 34,000 peserta dibimbing dan dilatih dengan pelbagai program pembangunan PKS oleh SME Bank melalui anak syarikat milik penuhnya, Centre For Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR)," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata SME Bank telah melalui satu proses transformasi yang signifikan, sekali gus meletakkannya pada tahap sekarang.

SME Bank memulakan Pelan Transformasi lima tahun bermula pada 2010 untuk pembaharuan model perniagaan dan proses yang menyeluruh dalam mencapai mandat yang diamanahkan, katanya.

info

* Kegiatan utama SME Bank sedia pembiayaan serta khidmat nasihat kewangan dan perniagaan kepada PKS Malaysia yang tergolong di dalam kategori yang ditetapkan oleh garis panduan PKS Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan.

* Perkara pertama dan paling asas adalah menyusun semula serta melaksanakan Model Operasi Baharu yang menyaksikan SME Bank mengasingkan pelanggan berasaskan 'Need and Merit' bagi membolehkan tumpuan lebih kepada pendekatan berkonsepkan nilai unik 'Melangkaui Pembiayaan.'

* Peringkat kedua pelan transformasi adalah untuk menjadi sebuah bank yang mapan dan mencapai standard global.

* Pelan transformasi fasa ketiga yang sedang berjalan adalah fokus SME Bank untuk merapatkan jurang pembiayaan, terutama di kalangan usahawan PKS yang tidak dibantu atau kurang mendapat bantuan.

Berita Harian X