Khamis, 22 Jun 2017 | 12:08pm

Polis Pahang awasi 36 laluan 'panas'

KUANTAN: Polis Pahang akan melaksanakan operasi penguatkuasaan menyeluruh di kawasan 'panas' atau lokasi kerap berlaku kemalangan di seluruh negeri ini sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azri Ahmad berkata, ia bertujuan menurunkan kadar kemalangan maut, kematian dan kemalangan biasa serta melancarkan perjalanan lalu lintas.

"Justeru sebanyak 36 laluan 'panas' dikenal pasti di negeri ini, dengan 60 peratus adalah laluan sama seperti tahun sebelum ini manakala selebihnya laluan baharu.

"Antara laluan berkenaan ialah Jalan Kuantan-Maran (Tasik Paya Bungor, Simpang Lepar Hilir 3, Batu 12 Taman Mahkota, Restoran Zaman), Jalan Kuantan-Pelabuhan, Jalan Kuantan-Maran, Kilometer 63 hingga 79 Jalan Kuantan-Segamat dan Kilometer 24 hingga 47 Jalan Temerloh-Bandar Jengka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azri berkata, polis akan melakukan rondaan secara lebih kerap di kawasan berkenaan supaya kehadiran anggota penguat kuasa dapat meningkatkan tahap kesedaran pemandu supaya lebih berhati-hati dan berwaspada.

Selain itu, beliau berkata, kehadiran polis di kawasan perumahan sepanjang musim perayaan juga adalah antara langkah pencegahan bagi mengurangkan kes jenayah pecah rumah.

Katanya, orang ramai juga perlu memainkan peranan masing-masing bagi meningkatkan tahap keselamatan rumah dengan memastikan pintu dan tingkap ditutup dan dikunci.

"Mereka yang mahu pulang ke kampung juga perlu memaklumkan kepada jiran terdekat yang tidak pulang bercuti.

"Selain itu, kita galakkan mereka juga mengisi borang balik kampung sebelum pulang bercuti bagi membolehkan pihak polis melakukan rondaan ke kawasan kediaman dan premis perniagaan masing-masing," katanya.

Berita Harian X