Rabu, 21 Jun 2017 | 10:07pm

Penunggang motosikal maut dihempap pokok


Motosikal milik Ab Aziz Jusoh yang maut dihempap pokok di kawasan Pelabuhan Kuantan petang tadi. - Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

KUANTAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas dihempap pokok di kawasan Pelabuhan Kuantan, dekat sini, petang tadi.

Mangsa, Ab Aziz Jusoh, 54, disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital selepas dibawa keluar daripada timbunan dahan kayu oleh anggota Bomba dan Penyelamat Gebeng dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang.

Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Anuar Hassan, berkata pokok yang tumbang itu menghempap motosikal ditunggang mangsa dan sebuah Perodua Viva.

"Dua lagi mangsa iaitu penumpang Perodua Viva sempat keluar daripada kenderaan terbabit," katanya ketika dihubungi di sini.

Difahamkan ketika kejadian, hujan lebat dan angin kencang kira-kira jam 5 petang tadi di sekitar lokasi kejadian.

Anuar berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat dan waris sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Berita Harian X