Khamis, 15 Jun 2017 | 6:16pm

Mah Sing rancang tambah simpanan tanah


PENGARAH Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) Bhd merancang membeli lebih banyak tanah di sekitar Lembah Klang untuk dibangunkan sebagai projek perumahan mampu milik dan terancang harga di bawah RM500,000 seunit.

Sejak 2015, strategi kumpulan hartanah itu banyak menyasarkan pembangunan hartanah pada harga berpatutan dan ia akan diteruskan pada tahun ini.

Disokong oleh kedudukan kewangan kukuh dengan nisbah hutang bersih rendah 0.02 kali pada 31 Mac 2017, Mah Sing akan terus aktif dalam pengambilalihan tanah.

Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata langkah itu sejajar sasaran untuk meningkatkan simpanan tanah di Lembah Klang daripada 65 peratus pada masa ini kepada 75 peratus dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Katanya, kumpulan sudah mengambilalih dua tanah di Lembah Klang, termasuk tanah berkeluasan 3.4 hektar di Sentul, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, lokasi itu mempunyai akses yang baik dengan jalan utama dan lebuh raya serta berhampiran Stesen LRT Sentul dan Sentul Timur.

"Kami juga membeli tanah seluas 1.42 hektar di Taman Tasik Titiwangsa, hanya 250 meter dari stesen MRT Hospital KL, berhampiran Istana Budaya, dan 1.8 kilometer dari LRT Titiwangsa, monorel serta pertukaran MRT.

"Tanah pegangan bebas yang baharu diambilalih itu mempunyai potensi nilai gabungan pembangunan kasar (GDV) sekitar RM1.95 bilion. Baki bank tanah utama kumpulan kini berjumlah 902 hektar, dengan GDV dan jualan belum dibilkan RM31.5 bilion," katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-25 Mah Sing.

Hoy Kum berkata, tanah di Sentul akan dibangunkan sebagai M Centura, suite kediaman berharga dari RM326,000, yang mana pembangunan pegangan bebas itu mempunyai GDV RM1.3 bilion.

Bagi tanah Titiwangsa, kumpulan merancang memajukan sebagai pembangunan berorientasikan transit dengan anggaran GDV sehingga RM650 juta.

Kondominium tepi tasik itu akan menampilkan unit kediaman berkeluasan daripada 850 kaki persegi dengan harga bermula RM485,000.

"Kumpulan akan terus membangunkan hartanah pada harga berpatutan di kawasan tumpuan utama sekitar Lembah Klang," katanya.

Berita Harian X