Khamis, 15 Jun 2017 | 7:27am

Mayweather, McGregor setuju bertarung

Floyd Mayweather (kiri) dan Conor McGregor.
Floyd Mayweather (kiri) dan Conor McGregor.

LAS VEGAS: Juara tinju yang belum pernah tewas, Floyd Mayweather dan juara gabungan seni mempertahan diri (MMA) Conor McGregor, dua atlet termasyhur sukan masing-masing, bersetuju untuk bertarung di Las Vegas pada 26 Ogos.

Pertarungan itu dijangka mengutip jutaan ringgit dengan Mayweather diletakkan sebagai pilihan untuk memenangi perlawanan antara dua sukan berbeza itu.

Mayweather, 40, bersara pada tahun 2015 dengan rekod bersih 49-0 dalam arena tinju profesional, manakala McGregor dari Ireland, 28, adalah juara kategori lightweight UFC.

"Ia rasmi!!!" kata Mayweather di laman Twitternya yang diiringi rakaman video pendek yang menampilkan gambar kedua-dua peninju berkenaan.

"Pertarungan bermula," tulis McGregor beberapa minit sebelum Mayweather.

Kedua-dua atlet itu sebelum ini berunding hampir setahun untuk merealisasikan pertarungan antara mereka, dengan masing-masing mahukan bayaran AS$100 juta (RM425.8 juta) bagi perlawanan berkenaan.

Sekiranya menang, Mayweather akan mengatasi rekod bekas peninju heavyweight Rocky Marciano yang turut bersara dengan rekod 49-0. - REUTERS

Berita Harian X