Isnin, 12 Jun 2017 | 1:51am

Lelaki parah tong petrol meletup

SEORANG lelaki melecur teruk selepas disambar api dipercayai ketika menggunakan pemetik api berhampiran tong berisi petrol di Taman Serai Jaya, Bagan Serai. - Foto APM

BAGAN SERAI: Tubuh seorang lelaki melecur teruk selepas tong berisi petrol berhampirannya meletup, dipercayai akibat perbuatan mangsa menyalakan api rokok berhampiran tong berkenaan.

Dalam kejadian di Taman Serai Jaya di sini pada kira-kira jam 7.40 malam tadi, tubuh lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai melecur sehingga 70 peratus akibat kejadian itu.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Parit Buntar oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Kerian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan rasmi daripada mana-mana pihak mengenai kejadian itu.

"Namun saya sudah mengarahkan pegawai penyiasat ke Hospital Parit Buntar untuk menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, siasatan awal daripada doktor bertugas mengesahkan mangsa yang melecur kini berada dalam keadaan kritikal. 

Katanya, berikutan keadaannya yang parah, mangsa dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk rawatan lanjut.

"Sehingga kini, polis masih belum mengetahui punca sebenar kejadian berikutan mangsa dalam keadaan kritikal dan masih belum boleh disoal siasat.

"Siasatan lanjut akan dijalankan dan pihak polis turut menggesa orang awam yang mengetahui punca kejadian agar tampil menyalurkan maklumat," katanya.

Berita Harian X