Rabu, 7 Jun 2017 | 7:16am

Israel belum sedia berdamai


PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto EPA

RAMALLAH: Pejabat Presiden Mahmud Abbas menyelar janji Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengekalkan kawalan keselamatan di Tebing Barat, semalam sambil menyatakan Israel 'tidak bersedia' untuk perdamaian.

Katanya, kenyataan Netanyahu, kelmarin dianggap sebagai kekangan kepada cubaan Presiden Donald Trump menghidupkan kembali rundingan damai yang buntu.

"Ia mesej kepada pentadbiran Amerika Syarikat dan komuniti antarabangsa, Israel tidak bersedia untuk berdamai mengikut undang-undang dan resolusi antarabangsa," kata jurucakap Abbas, Nabil Abu Rudeina dalam kenyataan.

"Kami menolak kenyataan ini, ia akan menjadikan situasi lebih sukar dan pastinya bukan bertujuan menyokong usaha mencapai penyelesaian," katanya.

Netanyahu mengeluarkan kenyataan itu, pada majlis sambutan ke-50 tahun Perang Enam Hari 1967.

Dalam perang itu, Israel menduduki Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan kemudian menjajah Baitulmaqdis Timur dalam tindakan yang tidak pernah diiktiraf komuniti antarabangsa.

Penjajahan itu masih berterusan dan di bawah perjanjian sementara dengan Palestin, Israel kini mengawal penuh keselamatan dan pentadbiran awam di 60 peratus kawasan Tebing Barat.

AFP

Berita Harian X