Sabtu, 3 Jun 2017 | 11:56am

27 kawasan di Beaufort dilanda banjir

ANGGOTA APM memantau sebahagian laluan dan kampung yang dinaiki air berikutan limpahan air Sungai Padas di Beaufort pagi ini. - Foto ihsan APM Sabah

BEAUFORT: Ribuan penduduk di 27 kampung dan kawasan perumahan di daerah ini terjejas banjir berikutan limpahan Sungai Padas, di sini, sejak malam tadi.

Kawasan terjejas ialah Kampung Binunuk, Bali Bata, Jimpangah, Bakalau, Lumatai, Batu 60, perumahan Jabatan Keretapi, Batu 58, Kampung Cina, Luagan, Lawa, Beringin, Suasa dan Lago.

Turut terjejas ialah kawasan rumah kerajaan pekan Beaufort, Kampung Melati, Mempagar, Lajau, Betandok, Luagan Usak, Melulugus, Lubak, Limbawang, Poring, Lupak, Tuhu dan Gadong.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Kolonel Mulliadi Al-Hamdi Ladin, berkata pemantauan mendapati 12 laluan turut dinaiki air setakat jam 10.30 pagi ini.

Laluan terbabit ialah Jalan Kampung Binunuk, Bakalau, Bali Bata, Jalan Mahkamah, Kampung Lago, Kampung Lawa, Jalan Padas Utama, Jalan Kampung Suasa, Mapait dan Batandok-Lubak.

"Empat sekolah turut dikenal pasti terjejas iaitu Sekolah Menengah (SM) Paul, Sekolah Kebangsaan (SK) Lago, SK Suasa dan Sekolah Agama Negeri (SAN) Limbawang.

"Bagaimanapun, keadaan banjir masih terkawal dan belum ada pemindahan penduduk dilakukan setakat ini," katanya, di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, paras Sungai Padas setakat jam 10 pagi tadi menunjukkan bacaan 9.16 meter, iaitu melebihi paras bahaya 8.7 meter.

"Walaupun paras Sungai Padas menunjukkan sedikit penurunan berbanding 9.17 meter pada awal pagi tadi, namun keadaan banjir tidak berubah berikutan kedalaman sungai masih pada paras bahaya," katanya.

Berita Harian X