Sabtu, 3 Jun 2017 | 10:57am

Tedung selar 4.2 meter disangka tali

ULAR tedung selar sepanjang 4.2 meter dengan berat 10.8 kilogram ditangkap anggota APM di Kampung Suang Punggur, Kota Belud. - Foto ihsan APM Sabah

KOTA BELUD: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Belud berjaya menangkap seekor ular tedung selar sepanjang 4.2 meter dengan berat 10.8 kilogram berhampiran rumah penduduk di Kampung Suang Punggur, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian selepas waktu sahur kira-kira jam 5 pagi, seorang penduduk, Murni Tai, 35, terserempak dengan seekor ular tedung yang disangkakan tali ketika pergi ke rumah bapanya.

Pengarah APM Sabah, Kolonel Mulliadi Al-Hamdi Ladin, berkata penduduk terbabit yang terkejut dengan penemuan reptilia berbisa berkenaan kemudian menghubungi APM Kota Belud untuk mendapatkan bantuan.

"Skuad bertugas yang diketuai Japli Othman dengan empat anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 5.10 pagi dan tiba pada jam 5.43 pagi tadi.

"Mereka berjaya mengesan dan menangkap ular terbabit. Ia adalah tangkapan ular tedung selar paling panjang dan besar di Kota Belud pada tahun ini," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan menangkap ular terbabit sekali gus mengurangkan risiko kepada penduduk kampung yang sebelum ini terdedah dengan kehadiran reptilia berbahaya itu.

Berita Harian X