Isnin, 12 Januari 2015 | 8:06pm

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut bergesel dengan treler

SEREMBAN: Seorang lelaki maut apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya, terbabas dipercayai bergesel dengan sebuah treler dalam kejadian di Jalan Rasah di sini, petang tadi.

Kejadian jam 4 petang itu menyebabkan penunggang berusia 30-an meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintenden Abdul Rahim Daud, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang dalam perjalanan ke Port Dickson, dipercayai bergesel dengan treler dari arah sama.

Katanya, kejadian itu menyebabkan mangsa hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar penghadang jalan di sebelah kiri.

"Bagaimanapun, sehingga kini treler yang terbabit dengan kemalangan itu gagal dikesan, manakala pemandunya masih belum membuat laporan polis," katanya, di sini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) di sini, untuk tindakan selanjutnya.

Abdul Rahim berkata, usaha mengesan pemandu yang terbabit giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X